Memaparkan catatan dengan label Banjir 2013. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Banjir 2013. Papar semua catatan

Selasa, Disember 17, 2013

Episod ketiga hujan lebat di Pahang, Terengganu dan Johor mula Rabu ini

KUALA LUMPUR - Penduduk di Terengganu, Pahang dan Johor dinasihatkan bersiap sedia menghadapi episod ketiga hujan lebat dijangka bermula Rabu hingga Jumaat ini.
Pengarah Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, ia dijangka disertai air pasang besar dan tiupan angin kencang di Laut China Selatan.
Muhammad Helmi mengulas lanjut mengenai kenyataan media jabatan itu yang menyatakan hujan lebat itu boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah.
Antara kawasan terlibat di Terengganu adalah Dungun dan Kemaman manakala di Pahang pula Kuantan, Pekan dan Rompin sementara di Johor, Segamat dan Mersing.
Menurut Muhammad Helmi, bacaan jumlah hujan dicatatkan di Kuantan adalah antara tertinggi pernah direkodkan iaitu lebih 300 milimeter sehari, pada 2 Disember lepas.
"Bagaimanapun, sukar untuk kita mengaitkan episod hujan lebat ini dengan perubahan iklim.
"Tetapi para saintis mengakui ia disebabkan pertambahan kejadian cuaca ekstrem," katanya. - Bernama

Khamis, Disember 05, 2013

Negeri-negeri dilanda banjir diramal terus dicurah hujan


KUALA LUMPUR 5 Dis. - Cuaca di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor esok diramal mendung pada sebelah pagi manakala beberapa tempat di Kelantan, Terengganu, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak akan mengalami hujan.

Menurut Jabatan Meteorologi, beberapa tempat di Kelantan, Terengganu dan Pahang akan mengalami hujan pada sebelah petang dan ribut petir dijangka melanda beberapa tempat di Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Putrajaya, Selangor, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

Pada sebelah malam, beberapa kawasan sekitar Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Sabah dan Sarawak akan mengalami hujan manakala Johor, Putrajaya serta sekitar ibu negara mendung sementara tempat-tempat lain dijangka tidak mengalami hujan. - UTUSAN ONLINE