Khamis, November 14, 2013

Polis Marin patah cubaan seludup syabu


PELABUHAN KLANG 13 Nov. - Pasukan Polis Marin (PPM) mematahkan percubaan menyeludup 3.6 kilogram dadah syabu yang dianggarkan bernilai RM330,000 dalam Op Cantas Khas di kawasan perairan Pantai Tanjung Bakau di sini petang semalam.

Komander PPM, Datuk Isa Munir berkata, dalam operasi kira-kira pukul 6 petang itu, bot berkenaan ditahan di kedudukan 2.7 kilometer dari pantai, hasil maklumat orang ramai.

Katanya, kesemua dadah itu ditemui disembunyikan di belakang bot berkenaan yang sarat dengan barangan terpakai.

“Bot berkenaan adalah jenis barter trade dari Indonesia. Ketika ditahan, ia dalam perjalanan pulang ke negara jiran itu dari Pelabuhan Klang.

“Selain itu, kami turut menahan seorang tekong bot bersama awak-awak berusia antara 20 hingga 33 tahun. Kesemua mereka berasal dari Indonesia," katanya di Markas Operasi Pasukan Polis Marin di sini hari ini.

Tambah beliau, kesemua yang ditahan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39 (B), Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, Isa memberitahu, pihaknya sedang giat melaksanakan operasi memantau sempadan perairan negara bagi menghalang percubaan rakan subahat suspek kes bunuh pegawai AmBank pada 23 Oktober lalu melarikan diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan