Sabtu, Januari 05, 2013

GENG (GMJ) pertama ujud di Malaysia


GENG Mesin Jahit (GMJ) menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pertama di negara ini yang menawarkan perkhidmatan menyumbangkan hasil jahitan kepada golongan kurang bernasib baik.

Sumbangannya adalah berbentuk baju kurung, sarung bantal, sarung kotak pensil, telekung, topi dan beg.

Presiden GMJ, Rosni Otho berkata, pertubuhan yang baru ditubuhkan pada tahun lalu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai dari seluruh negara.

Sehingga hari ini, pihaknya mempunyai 170 ahli yang terdiri daripada golongan profesional sehingga suri rumah.

Ketika ditanya mengenai perkhidmatannya, beliau memberitahu, ahli-ahli hanya perlu menjahit hasil mereka dari rumah seterusnya menghantar semula ke tempat pengumpulan menerusi pos.

Empat pusat pengumpulan tersebut merupakan rumah ahli GMJ yang masing-masing terletak di Putrajaya, Shah Alam, Cheras dan Sentul.

Bertutur lanjut mengenai pertubuhan itu, Rosni memberitahu, setiap ahli akan diberi peluang menjahit. Misalnya, setiap ahli hanya perlu menjahit dua helai sarung bantal.

"Jadi, setiap ahli dapat merasai pengalaman untuk menjahit setiap kali projek amal dilaksanakan," katanya sambil menambah, setiap ahli diberi tempoh sebulan untuk menyiapkannya.

Mengulas lanjut, Rosni berkata, material kain diperoleh daripada hasil sumbangan ahli-ahli yang menetap di Jepun dan Arab Saudi.

Mereka akan menghantar kain jenis kapas untuk projek yang mahu dilaksanakan tanpa mengenakan sebarang caj kepada persatuan.

Ketika ditanya mengenai golongan sasar, setakat ini pihak GMJ tertumpu kepada golongan anak-anak yatim dan juga kanak-kanak yang menghidap kanser di hospital.

Walau bagaimanapun, pihaknya juga bercadang untuk menjahit baju untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas.

"Ia adalah perancangan akan datang. Begitupun, saya mengalu-alukan pendapat ahli-ahli lain tentang produk yang mahu disumbangkan," katanya.

Terbaharu, GMJ telah menganjurkan projek Kusarungkan Kasih Untukmu kepada kanak-kanak di wad pediatrik, Hospital Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan