Isnin, Januari 28, 2013

1.3 juta pelajar terima BB1M


KUALA LUMPUR 26 Jan.- Sebanyak 1.3 juta pelajar bakal menikmati Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) bernilai RM250 apabila baucar itu mula diagihkan kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) serta politeknik hari ini.

Penyerahan baucar keseluruhan yang bernilai RM325 juta itu sekali gus membuktikan kerajaan menepati janji sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2013.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penambahbaikan skim BB1M kepada RM250 berbanding RM200 sebelum ini menunjukkan keprihatinan kerajaan ekoran harga buku yang meningkat.

''Penyerahan skim BB1M ini telah diagihkan kepada wakil IPT, namun terpulang kepada setiap IPT untuk membuat majlis penyampaian kerana pada masa ini pelajar sedang bercuti tetapi politeknik sudah boleh mula berbuat demikian.

''Penggunaan baucar ini mengikut syarat yang sama seperti skim pertama tahun lalu termasuk larangan penyalahgunaan baucar itu iaitu mereka hanya dibenarkan membeli buku,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pengajian Tinggi Negara Kesembilan di Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan replika cek BB1M bernilai RM134 juta kepada wakil IPTA; RM107 juta (IPTS); RM23.5 juta (politeknik) dan UM sebanyak RM6.3 juta, sebagai simbolik selaku tuan rumah penganjuran karnival tersebut.

Sempena perasmian karnival itu, Mohamed Khaled turut melancarkan sistem aplikasi mudah alih, CCSmart, bertujuan memberi kemudahan permohonan kemasukan pelajar ke kolej komuniti bagi sijil kolej komuniti dan sijil kursus pendek.

Menurut beliau, CCSmart merupakan aplikasi terbaharu yang dibangunkan oleh agensi di bawah kementerian supaya akses kerajaan melalui media baharu dapat dilaksanakan secara menyeluruh mengikut perkembangan teknologi terkini.

Dalam pada itu, beliau berkata, tarikh kemasukan pelajar mengikut kalendar akademik IPTA sesi 2013/2014 untuk pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf bagi program ijazah pertama adalah pada 1 dan 2 September 2013 manakala lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf bagi program diploma adalah pada 2 Jun 2013.

''Lepasan SPM dan setaraf bagi program asasi pula adalah pada 26 Mei ini.

''Sebanyak 160,000 tempat disediakan bagi kemasukan sesi akademik kali ini bagi program pengajian di IPTA dan institut latihan kemahiran manakala 130,000 tempat di IPTS,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan