Selasa, September 13, 2011

Agong Dijangka Berangkat Ke Program Khatam Quran YIT


Image Detail

KUALA TERENGGANU, 12 Sept (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dijangka berangkat ke program khatam al-Quran yang akan diadakan di Stadium Negeri pada 22 Okt ini melibatkan seramai 7,900 murid tadika Yayasan Islam Terengganu (YIT).

Pengarah YIT Md Kamaru Al-Amin Ismail berkata jumlah murid yang khatam al-Quran pada tahun ini meningkat berbanding 6,246 orang pada tahun lepas.

"Pertambahan pelajar khatam al-Quran tahun ini mungkin kerana kesedaran ibu bapa yang semakin meningkat terhadap pentingnya pembelajaran al-Quran," katanya kepada Bernama pada majlis Aidilfitri YIT di sini Isnin.

Dalam perkembangan yang lain, Md Kamaru Al-Amin berkata seramai 19,000 orang murid Kelas Fardu Ain (Kafa) pula akan mengikuti program khatam al-Quran tahun ini yang akan diadakan seminggu selepas itu.

Beliau berkata jumlah pelajar Kafa khatam al-Quran tahun ini meningkat berbanding 16,269 orang tahun lepas.

"Secara keseluruhannya seramai kira-kira 27,000 orang anak-anak Terengganu akan khatam al-Quran pada tahun ini berbanding 22,515 orang tahun lepas," katanya.

Sementara itu, Md Kamaru Al-Amin berkata YIT akan mengambil pelajar-pelajar lepasan UPSR untuk ditempatkan di Pondok Darul Iman iaitu pondok moden pengajian Islam di Hulu Terengganu tahun ini.

Beliau berkata jumlah pelajar di pondok itu akan ditingkatkan kepada 500 orang berbanding 200 orang pada masa ini.

Katanya YIT juga akan membelanjakan sebanyak RM5 juta untuk membesarkan lagi pondok itu tahun ini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan