Sabtu, Julai 02, 2011

Terengganu Didik Pelancong Hargai Terumbu Karang

View Image

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Dalam usaha memulihara terumbu karang di sekitar pulau peranginan di Terengganu, kerajaan negeri kini menumpukan pendidikan mengenai hidupan marin itu pada kalangan pelancong.

Pengerusi Jawatankusa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Terengganu Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata usaha itu bagi meningkatkan kesedaran pelancong mengenai hidupan laut tersebut.

"Tanpa lesen dan latihan (menyelam) yang sempurna (pada kalangan pelancong) menyukarkan penjagaan terumbu karang berikutan kini banyak masalah yang boleh menyebabkan kemusnahannya termasuk pencemaran, pemanasan global dan pembangunan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Fotografi "Tenggol Underwater and Island Challenge", di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahin berkata setakat ini usaha pemuliharaan terumbu karang di negeri itu dilakukan kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk syarikat swasta, institusi pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan.

Terdahulu, Abdul Rahin menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan. Mohd Kamarulzaman Mohd Ariffin, 34, dari Universiti Malaysia Terengganu yang menjuarai kategori 'Dasar Laut' membawa pulang wang tunai RM5,000, manakala jurugambar bebas Azhar Azli, 41, dari Segamat Johor membawa pulang RM3,000 selaku juara kategori 'Pulau dan Darat'.

Pertandingan itu yang diadakan di Pulau Tenggol, Dungun, dianjurkan bersama kerajaan Terengganu, Tourism Malaysia Terengganu dan Malaysian Coral Reef Conservation Society.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan