Khamis, Julai 28, 2011

Barang Keperluan Ramadan Di Terengganu Dijangka Mencukupi

View Image

KUALA TERENGGANU, 27 Julai (Bernama) -- "Mencukupi". Itulah yang boleh disimpulkan mengenai bekalan barang keperluan menjelang Ramadan akan datang hasil tinjauan di Pasar Payang di sini, Khamis.

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakkan barangan seperti minyak, tepung, gula dan daging masih dalam keadaan mencukupi serta mampu menampung permintaan pelanggan sementara harga ayam terdapat sedikit kenaikkan malah dijangka terus naik semasa Ramadan.

Pembantu Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Zulkarnain Mohamad berkata, bekalan barang-barang tersebut masih mencukupi bagi menampung permintaan pada bulan Ramadan.

"Harga untuk barang-barang ini tidak akan berubah dan penetapan harga tetap menjelang puasa akan diumumkan oleh kementerian sebelum bermulanya bulan Ramadan," katanya.

Menurut salah seorang peniaga runcit, Norsalihas Moktar @ Jusoh, 40, stok barangan keperluan masih dalam keadaan mencukupi dan pelanggan boleh mendapatkan barangan tersebut seperti biasa.

"Saya biasanya akan meminta bekalan bahan keperluan lebih banyak untuk bulan puasa kerana permintaan lebih tinggi dari bulan biasa namun tidak akan menaikkan harga sekiranya pemborong tidak menaikkan harga.

"Harga tepung, minyak dan gula masih seperti biasa, tidak berubah," katanya ketika ditemui di kedainya.

Sementara itu, ketika tinjauan harga daging dan ayam, penjual daging lembu di sini, Abdul Ranim Mohd Nor, 42 berkata bahawa harga daging lembu tempatan kekal RM14.

Peniaga ayam, Mohd Afiza Abdul Ghani, 28 pula berkata, beliau tidak boleh mengekalkan harga ayam pada harga lama kerana kenaikkan harga daripada pembekal lebih RM7 menyebabkan beliau terpaksa menaikkan harga lebih tinggi.

"Saya terpaksa menaikkan harga ayam kerana bekalan ayam yang semakin kurang menyebabkan harga ayam yang lebih tinggi daripada pembekal. Mengikut apa yang berlaku pada bulan puasa yang lepas, harga ayam sering naik dan dijangka tahun ini pun sama," katanya.

Bagi ibu tunggal, Rohana Salleh, 46, berkata beliau berharap agar barang-barang keperluan tidak dinaikkan sewenang-wenangnya.

"Mungkin kenaikan harga barang tidak menjejaskan orang yang bekerja kerajaan tetapi orang yang bekerja sendiri seperti Mak Cik amat terjejas memandangkan Mak Cik hanya kerja jual ubat dengan pendapatan bawah RM500 sebulan," katanya yang mempunyai tujuh orang anak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan