Rabu, April 06, 2011

MRSM KT cipta nama peringkat antarabangsa


Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Terengganu mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila pelajarnya memenangi pelbagai kejohanan dan pertandingan rekacipta peringkat berkenaan.

Terbaru, pelajarnya, Muhammad Amiruddin Razali, 17, yang mewakili pasukan ragbi kebangsaan, muncul johan Kejohanan Ragbi Sekolah Antarabangsa 2011, yang diadakan di Thailand, baru-baru ini.

Seorang lagi pelajarnya, Faiz Fahmi, turut menerima anugerah kepimpinan antarabangsa apabila menyertai Program Pertukaran Pelajar dan Belia Asia-Timur Jepun 2010.


Pengetua MRSM Kuala Terengganu, Encik Mohamad Ali Mohamed, berkata sebelum ini maktab itu memenangi pelbagai anugerah rekacipta peringkat kebangsaan, termasuk pingat emas pertandingan Rekacipta & lnovasi UiTM Terengganu 2010, pingat perak Ekspo Kreativiti & Inovasi Universiti Malaya 2010 dan tempat kedua (kategori sekolah) Pertandingan Rekaan Malaysia 2010.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menghantar penyertaan setiap kali diadakan pertandingan rekacipta peringkat kebangsaan bagi menggalakkan pelajar mengetengahkan rekaan mereka.

Katanya, kecemerlangan pelajar bukan diukur berdasarkan kejayaan akademik saja, tetapi ia lebih bermakna jika disertai dengan kejayaan mereka menggunakan pemikiran bagi mencipta perkara-perkara yang boleh memberi faedah kepada masyarakat.

Bagi tujuan itu, MRSM Kuala Terengganu memberi galakan kepada pelajar merekabentuk dan mencipta alat-alat yang boleh memberi faedah kepada orang ramai berdasarkan daya kreativiti masing-masing.

Antara rekacipta pelajar berkenaan termasuk mesin (alat) mencabut kemuncup, alat amaran paras banjir dan alat penyejuk ‘hibiscus’.

“Setakat ini, kesungguhan pelajar terbalas kerana boleh dikatakan mereka akan menang sama ada pingat emas atau perak dalam setiap penyertaan itu,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, MRSM Kuala Terengganu mencatat sejarah apabila mendapat tempat kesembilan daripada keseluruhan 38 MRSM di seluruh negara, dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Seramai 17 pelajar daripada keseluruhan 117 calon MRSM Kuala Terengganu yang menduduki peperiksaan itu, mendapat keputusan semua A dalam mata pelajaran yang mereka duduki.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan