Sabtu, April 30, 2011

Habuan tambahan emas Olimpik

AHMAD Shabery  (tengah) bersama  Tunku   Imran  (dua dari kanan) Zolkples   (kanan),    Zamzairani  (kiri) dan Pengerusi TM, Datuk Dr Halim Shafie pada  majlis menandatangani  MoU  antara TM,  MSN  dan  MOM serta pelancaran “Team Malaysia”,  semalam.
AHMAD Shabery (tengah) bersama Tunku Imran (dua dari kanan) Zolkples (kanan), Zamzairani (kiri) dan Pengerusi TM, Datuk Dr Halim Shafie pada majlis menandatangani MoU antara TM, MSN dan MOM serta pelancaran “Team Malaysia”, semalam.


TM tawar imbuhan RM100,000 sebagai pembakar semangat atlit 

ATLIT negara yang meraih pingat emas di Sukan Olimpik London 2012 bakal menerima tambahan RM100,000 daripada RM1 juta ditawarkan di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) susulan persetujuan Telekom Malaysia Bhd (TM) memberi imbuhan berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, ketika mengumumkan perkara itu berkata kesudian TM menawarkan imbuhan tambahan kepada pemenang emas Olimpik London itu boleh menjadi pembakar semangat untuk atlit negara merangkul emas pertama.

“Ini juga satu lagi kejayaan usaha membabitkan pihak swasta dalam membantu kerajaan memaju dan membangunkan sukan negara,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara TM, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta melancarkan “Team Malaysia” di Kuala Lumpur, semalam. 

MoU itu dimeterai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Zamzairani Mohd Isa bagi pihak TM, manakala MSN dan MOM masing-masing diwakili Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong dan Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar. 

MoU itu bagi memulakan kempen sukan TM yang dinamakan Team Malaysia yang bertujuan menghimpunkan sokongan peminat sukan di Malaysia kepada atlit negara tanpa mengira bangsa, agama, jantina dan umur. Menerusi MoU itu juga, TM diberi hak ekslusif ke atas jersi Panthera MSN dan juga Lingkaran Olimpik yang terkenal untuk digunakan sepanjang kempen Team Malaysia termasuk dalam aktiviti pemasaran dan promosi, cenderamata serta hak perniagaan untuk menghasilkan dan mengedarkan barangan yang mempunyai logo MSN dan MOM. 

“Sebelum ini sudah ada diperkenal jersi untuk menyokong sukan negara tetapi sambutannya kurang menggalakkan dan sekarang kita mahu jadikan jersi Panthera Team Malaysia ini sebagai fesyen baru menyatakan sokongan terhadap pasukan negara yang bertanding dalam apa juga kejohanan sukan,” kata Ahmad Shabery. 

Jesi Panthera Team Malaysia terdapat dalam saiz dewasa dan kanak-kanak dan boleh didapati di premis TMpoint terpilih serta di acara dan siri jelajah TM pada harga RM79.90 sehelai dan harga online istimewa iaitu RM69.90 bagi pembelian menerusi laman web korporat TM iaitu www.tm.net.my, TM Rewards (www,tmrewards.com.my) dan Everyone Connects (www.everyoneconnects.net) mulai hari ini. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan