Rabu, April 20, 2011

Bilangan kes jenayah juvana semakin membimbangkan


PUTRAJAYA - Bilangan kes jenayah melibatkan pelajar atau lebih dikenali sebagai pesalah juvana semakin membimbangkan, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud. 

Beliau berkata, ia berdasarkan laporan dikemukakan Cawangan Dasar/Pencegahan Jenayah, Bahagian Hal Ehwal Awam, Bukit Aman, di mana pesalah juvana kini cenderung melibatkan diri dalam pelbagai salah laku sosial dan jenayah berat. 

“Kebimbangan ini jika tidak ditangani segera akan menambahkan bebanan pihak kementerian dalam menangani masalah sosial termasuk penyalahgunaan najis dadah, ponteng sekolah, gejala buli, pil khayal, peras ugut, kumpulan haram, menonton video lucah dan pelbagai kegiatan berhubung kait jenayah,” katanya. 

Abdul Ghafar berkata, mengikut statistik 2010, 1.43 peratus kes disiplin direkodkan di sekolah di negara ini, termasuk 0.32 peratus kes jenayah seperti pergaduhan dan kes kecurian. 

Beliau berkata, setiap sekolah di negara ini disasar untuk menubuhkan Kelab Pencegahan Jenayah sebagai antara usaha mencapai sasaran sifar peratus kadar perlakuan jenayah di sekolah. 

Abdul Ghafar berkata, penubuhan kelab itu mendapat kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) akan dijalankan dengan lebih agresif dan satu jawatankuasa dipengerusikan beliau sendiri turut ditubuhkan untuk memantau perkembangan kelab itu. 

Menurutnya, sehingga kini 5,587 daripada hampir 10,000 sekolah di seluruh negara telah menubuhkan kelab itu, melibatkan 611,450 pelajar. 

“Kita ada lebih kurang 20 peratus sekolah kurang murid, bilangannya tidak sampai 50 orang, kemungkinan sekolah sebegitu mahu menubuhkan kelab macam ini supaya sukar sikitlah,” katanya. 

Sementara itu, Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, yayasan itu meluluskan peruntukan RM100,000 untuk membantu penubuhan kelab terbabit di peringkat sekolah. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan