Jumaat, Februari 18, 2011

Menghayati makna 1Malaysia, 1Ummah

1MALAYSIA, 1Ummah merupakan tema yang dipilih sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini. Tema ini ringkas dan jelas. Ia mengajak kita semua untuk berpadu demi membina sebuah negara yang berjaya. Namun, di manakah kita dalam memahami dan melaksanakan matlamat yang cuba dianjurkan tema tersebut?

Dengan melihat keadaan semasa, setiap seorang daripada kita boleh hidup secara bersama. Kita boleh berjiran bersama, tidak kira bangsa, agama mahupun latar belakang keluarga. Ini adalah hasil usaha pemimpin negara sejak awal kemerdekaan. Ketika itu, mereka tahu bahawa tanpa perpaduan dalam kalangan rakyat, maka Malaysia (ketika itu, Persekutuan Tanah Melayu) tidak mampu bangkit sebagai sebuah negara merdeka.


Namun kebelakangan ini, sesuatu yang berbeza dapat kita rasai. Semacam ada usaha untuk melihat masyarakat pelbagai bangsa di negara ini berpecah dan bertelingkah antara satu sama lain. Malah, lebih sedih lagi bila melihat masyarakat Muslim juga bertelagah sesama mereka. Jika keadaan ini berterusan, maka mampukah kedaulatan negara ini kita pertahankan?

Melihat kembali usaha Nabi Muhammad SAW membentuk sebuah negara Islam pertama, banyak yang boleh kita pelajari. Di awal pembentukan ini, Rasulullah SAW memberi tumpuan kepada pengukuhan ikatan persaudaraan di antara umat Islam sendiri. Ketika itu, kaum Muhajirin dan Ansar disatukan dengan ikatan tali persaudaraan yang kukuh. Asas kesatuan ini bukannya kerana Rasulullah tetapi lebih dasar lagi kerana inilah yang dituntut dalam agama Islam.

Malah, dua kumpulan yang berbeza latar belakang ini menerima seruan perpaduan yang dianjurkan Rasulullah tanpa banyak soal, malah kaum Ansar rela menyerahkan harta benda mereka kepada kaum Muhajirin untuk memulakan kehidupan baru di Madinah. Selepas kukuhnya persaudaraan kaum Muslimin di Madinah, Rasulullah dengan bijak bertindak selangkah lagi.

Kali ini, persaudaraan kaum Muslimin dan penduduk lain di Madinah (masyarakat Yahudi dan Nasrani) menjadi tumpuan. Malah, usaha ini tidak berhenti di situ tetapi menjangkau kepada pengukuhan hubungan dengan penduduk di sekitar Madinah terutamanya dengan penduduk Mekah (kaum Quraisy) yang sentiasa melihat Madinah dengan pandangan iri hati. Usaha ini akhirnya membawa kepada pembentukan Piagam Madinah, yang dicatatkan sebagai perlembagaan sebuah negara yang pertama digubal di dunia.

Daripada apa yang dibincangkan di atas, jelas banyak perkara boleh dipelajari. Antaranya, dalam usaha memupuk perpaduan antara kaum, perpaduan dalam kalangan umat Islam perlulah diperkukuhkan terlebih dahulu. Pengukuhan ini akan menjadi satu sebab penting bagi menjamin perpaduan masyarakat Muslim dengan kaum lain di Malaysia. Dengan kata lain, kalau kita tidak mampu bersatu dalam kalangan kita, mana mungkin kita boleh bersatu dengan kaum yang lain.

Namun, apa yang menyedihkan kini, sesama Muslim sanggup melakukan apa saja untuk menjatuhkan satu sama lain. Demi menegakkan kepentingan sendiri mahupun pendapat yang mereka yakini, pelbagai cara dilakukan untuk menjatuhkan lawan. Fitnah disebarkan. Penghinaan dilakukan secara terbuka. Kesalahan yang kecil diperbesarkan. Kelemahan pihak lawan ditelanjangi sesuka hati, malah hakikat yang terang disembunyi. Lebih menyedihkan, usaha ini ada penyokongnya. Malah, ada juga yang sedia menyebarkannya.

Atas dasar inilah kemungkinan masyarakat lain di Malaysia berasa ragu untuk benar-benar bersatu dengan masyarakat Islam kerana masyarakat Islam sendiri tidak menunjukkan contoh perpaduan yang baik. Kita mendabik dada sebagai satu umat yang terbaik iaitu ...umat yang dilahirkan bagi faedah umat manusia.." (Ali Imran, 3:110). Namun, sayangnya, kita jugalah yang gemar bertelagah sesama sendiri. Pertelagahan itupun bukan atas dasar yang kukuh tetapi atas dasar yang lemah misalnya politik, kenegerian, pangkat, kedudukan dan sebagainya.

Namun, kita lupa bahawa hakikatnya kita diikat pada satu kesatuan paling murni iaitu agama Islam yang suci lagi sempurna. Jadi, kenapa kita memilih untuk melihat kepada perbezaan sedangkan hakikat persamaan ini diketepikan sejauh mungkin?

Tidakkah semua ini berlawanan dengan pandangan hidup yang telah dididik ke atas kita sejak kecil lagi? Bukankah dalam pandangan hidup, Islam mengajarkan kita untuk mencapai kesatuan berbanding perpecahan?

Sayu untuk dikatakan di sini bahawa ramai Muslim menyedari kebenaran ini tetapi akhirnya mengambil jalan sebaliknya demi kelangsungan diri di dunia. Tidakkah ini amat menyedihkan?

Pada ketika ini, kita perlu menyedari hakikat bahawa perpaduan dalam kalangan umat Islam sendiri amat rapuh dan nipis. Dengan itu, usaha-usaha untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan umat Islam perlulah diberi perhatian.
Perpaduan itu wajiblah didasarkan kepada satu sebab sahaja iaitu agama Islam yang suci. Jika ini dapat dicapai, kemungkinan besar lebih mudah kita melangkah setapak lagi iaitu mengukuhkan perpaduan pelbagai kaum di negara ini.
Menurut seorang penyair Arab zaman pra-Islam, yang dipetik daripada buku Ummah Negara Islam tulisan Muhammad Abdul Rauf, "manusia tidak akan baik dalam keadaan kucar-kacir dan tanpa kepimpinan berwibawa. Dan tiada kepimpinan yang berwibawa sekiranya orang-orang jahil yang memimpin." Oleh itu, bagi memandu usaha perpaduan ini, peranan pemimpin yang ikhlas amat diperlukan.

Jika melihat kepada usaha Rasulullah SAW yang dibentangkan di awal makalah ini, jelas baginda memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha menyatupadukan umat Islam, masyarakat Yahudi dan Nasrani berserta masyarakat Quraisy di Mekah. Kebijaksanaan baginda disatukan dengan panduan Allah SWT akhirnya telah memungkin terbentuknya sebuah negara Islam pertama yang aman serta makmur.

Dalam hal ini, pemimpin kini juga perlu mengikut jejak langkah yang sama iaitu menggunakan kebijaksanaan mereka menilai keadaan semasa, mengusahakan kaedah-kaedah serta memohon panduan Ilahi dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu. Seharusnya mereka berpegang kepada prinsip yang dianjurkan al-Subki, seorang penulis biografi tokoh-tokoh dalam Mazhab Shafie, bahawa "Tidak berselisih itu rahmat."

Ini bermakna elakkan seboleh mungkin perselisihan dan capailah perpaduan. Ini tidaklah bermakna pertentangan pendapat tidak boleh dilakukan tetapi pertentangan tersebut hendaklah diurus dengan bijak agar kita tidak dilihat dan dinilai dengan penuh sinis.

Akhir sekali, seharusnya umat Islam berusaha menghayati slogan 1Malaysia, 1Ummah dalam konteks perbincangan makalah ini. Moga-moga slogan ini diiringi dengan kefahaman sebenar dan tidak hanya tinggal gah di atas rentangan kain putih di jalanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan