Selasa, Januari 18, 2011

Pelbagai pihak tampil bela nasib sembilan beradik yatim piatu

FANDI Mohamad (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada sekeluarga sembilan beradik yatim piatu di Kampung Jebak Puyuh, Kerandang, Besut, semalam.

BESUT 16 Jan. - Kesempitan hidup sembilan beradik yatim piatu di Kampung Jebak Puyuh, Keradang dekat sini semakin terbela setelah pelbagai pihak tampil menghulur bantuan.


Sejak kisah hidup mereka tersiar di dada akhbar September tahun lalu, kehidupan mereka jauh berubah dan sentiasa dilimpahi rezeki hasil sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan negeri termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Bermula dengan bantuan untuk membaiki rumah usang peninggalan ibu bapa bernilai RM30,000 yang disumbangkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, pelbagai sumbangan lain diterima adik beradik itu.

Sembilan beradik berkenaan — Mohd. Zaki Maidin, 23, yang kini bertindak sebagai ketua keluarga dan lapan adiknya, 

Mohd. Zamhuri, 21; Mohd. Sulaiman, 19; Mohd. Riduan, 17; Ain Nasehah, 16; Nurul Samihah, 14; Noor Silawati, 12; Mohd. Idris, 10, dan Mohd. Roslan, 8, amat bersyukur dengan bantuan bertali arus yang diterima mereka.

Terbaru, semalam seramai 95 anggota Kelab Rekreasi Helang (HRC) iaitu kelab yang aktif dalam aktiviti rekreasi dan radio amatur, berkonvoi dengan kereta dari Dungun untuk menyampaikan sumbangan barangan menerusi Program Amal dan Lawatan Muhibbah HRC.

Presidennya, Fandi Mohamad ketika ditemui berkata, semua keperluan tersebut disumbangkan oleh anggota kelab atas kesedaran dan prihatin mereka dengan kesusahan sembilan beradik itu.

"Antara barangan yang dibekalkan termasuklah pakaian, barangan makanan, dapur memasak, almari, katil, tilam dan keperluan dapur selain bercadang mengadakan gotong royong mengecat rumah mereka," katanya.

Sementara itu, Mohd. Zaki yang bekerja mengambil upah menoreh getah berkata, mereka bersyukur dengan limpahan sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak itu.

Mohd. Zaki berkata, ada juga pihak ingin mengambil adik-adiknya sebagai anak angkat tetapi beliau terpaksa menolaknya.

"Saya tidak mahu kami terpisah kerana mematuhi pesanan arwah ibu sebelum beliau meninggal dunia supaya adik-adik tidak dipisahkan," katanya.

Ibu sembilan beradik itu, Fatimah Tahir meninggal dua tahun lalu akibat sakit jantung manakala bapa mereka Maidin Mohamad meninggal tujuh tahun lalu akibat barah leher. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan