Isnin, Januari 21, 2013

Malaysia lebih baik dari G7


KUALA LUMPUR  - Ekonomi negara-negara yang membangun pesat, termasuk Malaysia, akan berkembang dengan lebih pantas berbanding negara-negara anggota G7 (tujuh negara perindustrian) dalam tempoh empat dekad akan datang, demikian menurut PricewaterhouseCoopers (PwC).

Syarikat itu berkata, purata pertumbuhan di segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengikut pariti kuasa membeli (PPP), menunjukkan Nigeria mendahului dari 2012 hingga 2050, diikuti oleh Vietnam, India, Indonesia, Malaysia, China, Arab Saudi dan Afrika Selatan.

Malaysia dimasukkan ke dalam kajian yang dipanjangkan pada 2013 dari kajian asal PwC 'World in 2050' itu, yang dilaksanakan pada 2006 dengan meliputi 17 ekonomi terbesar.

Laporan 2013 'World in 2050 The BRICs and Beyond: Prospects, Challenges and Opportunities' itu juga memasukkan Vietnam, Nigeria, Africa Selatan, Poland, Arab Saudi dan Argentina di dalam laporan tahun ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rakan Urusan PwC Malaysia, Sridharan Nair berkata, Malaysia baru-baru ini menjadi tarikan sebagai destinasi bagi pelaburan langsung asing, yang dirangsang oleh insentif kerajaan, dasar liberalisasi, Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan.

"Di luar G20, Malaysia, bersama-sama Vietnam dan Nigeria, berpotensi mencatatkan pertumbuhan jangka panjang.

"Malaysia terus berada dekat dengan 20 negara teratas, berdasarkan bilangan penduduknya yang kecil berbanding dengan ekonomi membangun pesat yang lain yang dikaji tetapi mempunyai potensi pertumbuhan kukuh," katanya.

Katanya, laporan tahun ini juga menonjolkan tiga faktor utama yang menggalakkan pertumbuhan di negara ini.

Antaranya, usaha Malaysia mendapatkan bakat global dan diasporanya sendiri melalui program menarik bakat yang aktif dan komitmen untuk meningkatkan kecergasan kawasan perbandaran utama.

"Tetapi, kita perlu tangkas dan berubah untuk kekal kompetitif di dalam pasaran global.

"Yang penting lagi, kita memerlukan kemahuan politik dan penyertaan pihak berkepentingan seperti perniagaan, bagi memastikan inisiatif transformasi ekonomi diteruskan seperti yang dirancang," katanya.

Sridharan juga berkata, kadar pertumbuhan Malaysia berpotensi mengatasi prestasi keputusan model kajian itu, yang menunjukkan 5.0 peratus pertumbuhan KDNK sebenar sehingga 2020. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan