KUALA LUMPUR 24 Jan. - Majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun 1434H di Putrajaya berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 13,000 peserta.
Bertemakan Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah, turut berangkat pada majlis itu adalah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Raja Permaisuri, Tuanku Hajah Haminah.
Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Sambutan kali ini turut diserikan dengan perarakan motosikal berkuasa tinggi, unit berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya serta pasukan bot air.
Sementara itu, di seluruh negara, sambutan yang sama juga diadakan di negeri-negeri dengan turut diserikan dengan keberangkatan Sultan, Raja, Yang Dipertuan Besar, Yang Dipertua Negeri dan para pembesar di negeri masing-masing.
Acara sambutan bermula dengan perarakan kontinjen yang mewakili pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan sekolah. - UTUSAN
SAMBUTAN DI TERENGGANU
Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.
Keberangkatan baginda disambut, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.
Sambutan Maulidur Rasul yang bertemakan `Wassatiyah Tonggak Kesatuan Ummah’ itu turut diserikan dengan bacaan ayat suci al-Quran, persembahan nasyid, bacaan rawi, syair dan kemudiannya ucapan Dato’ Seri Haji Ahmad.
Sambutan Maulidur Rasul yang bertemakan `Wassatiyah Tonggak Kesatuan Ummah’ itu turut diserikan dengan bacaan ayat suci al-Quran, persembahan nasyid, bacaan rawi, syair dan kemudiannya ucapan Dato’ Seri Haji Ahmad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan