Sabtu, Januari 19, 2013

Insentif kahwin untuk ibu dan bapa tunggal di Terengganu dapat sambutan


MARANG: Insentif sebanyak RM2,000 kepada setiap ibu dan bapa tunggal yang berkahwin semula di negeri ini mulai mendapat sambutan. 

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad berkata, sejak diluluskan bulan lalu, terdapat empat atau lima pasangan datang untuk mendapatkan borang. 

"Ramai yang sudah datang jumpa saya untuk bertanyakan bagaimana mendapatkan borang. Mungkin timbul rasa cetusan semangat mahu kahwin, hasil insentif ini. "Kita doakan mereka mendapat pasangan yang baik dan berkekalan. 

"Kita mahu beri keselesaaan kepada mereka. Kalau ibu tunggal atau bapa tunggal kahwin, kita akan bagi RM2,000. Tetapi kalau ibu tunggal kahwin dengan bapa tunggal dan sebaliknya, mereka berdua layak mendapat RM4,000," katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang merangka program perkahwinan beramai-ramai kepada golongan terbabit. 

"Kita akan mengadakan satu majlis perkahwinan peringkat negeri di mana pasangan berkenaan berkahwin beramai-ramai dan seterusnya menyampaikan insentif kepada mereka pada hari perkahwinan mereka," tambahnya. 

Selain itu Yahya Khatib berkata kerajaan negeri akan membina bangunan dengan kos RM1.5 juta untuk ibu tunggal menjalankan aktiviti di bawah kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga, yang tapaknya sudah diperoleh. - BERNAMA 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan