Selasa, Disember 17, 2013

Episod ketiga hujan lebat di Pahang, Terengganu dan Johor mula Rabu ini

KUALA LUMPUR - Penduduk di Terengganu, Pahang dan Johor dinasihatkan bersiap sedia menghadapi episod ketiga hujan lebat dijangka bermula Rabu hingga Jumaat ini.
Pengarah Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, ia dijangka disertai air pasang besar dan tiupan angin kencang di Laut China Selatan.
Muhammad Helmi mengulas lanjut mengenai kenyataan media jabatan itu yang menyatakan hujan lebat itu boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah.
Antara kawasan terlibat di Terengganu adalah Dungun dan Kemaman manakala di Pahang pula Kuantan, Pekan dan Rompin sementara di Johor, Segamat dan Mersing.
Menurut Muhammad Helmi, bacaan jumlah hujan dicatatkan di Kuantan adalah antara tertinggi pernah direkodkan iaitu lebih 300 milimeter sehari, pada 2 Disember lepas.
"Bagaimanapun, sukar untuk kita mengaitkan episod hujan lebat ini dengan perubahan iklim.
"Tetapi para saintis mengakui ia disebabkan pertambahan kejadian cuaca ekstrem," katanya. - Bernama

Ahad, Disember 15, 2013

Pantai, sungai Terengganu masih belum selamat


Kesemua pantai dan sungai di kawasan peranginan di Terengganu didapati tidak selamat untuk aktiviti air terutama pada musim tengkujuh sekarang, kata Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa.

Ia ekoran beberapa kes lemas di pantai telah dicatatkan sepanjang musim tengkujuh ini dengan terbaru, seorang lelaki nyaris lemas ketika mandi di Pantai Batu Buruk awal pagi tadi.

Manakala pada Jumaat, dua pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun terkorban ketika mandi di Pantai Teluk Bidara, Dungun. 

Justeru Jamshah mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti di tempat-tempat berisiko.  

Menurutnya sepanjang musim tengkujuh ini semua tempat seperti itu adalah tidak selamat untuk mandi dan disokong dengan faktor cuaca yang tidak menentu selain faktor geografi yang berubah.

Katanya orang ramai perlu lebih peka terhadap keadaan cuaca dan persekitaransebelum melakukan aktiviti di air terutamanya pada musim sekarang.   

"Sekarang ini musim tengkujuh dan bencana banjir baru sahaja melanda negeri ini, jadi orang ramai perlu waspada sebelum membuat keputusan bermandi-manda dikawasan berisiko seperti itu.

"Jika kita lihat sekarang nelayan sendiri tidak mengambil risiko turun ke laut pada musim tengkujuh ini kerana tahu bahaya yang menanti mereka jadi kita perlu beringat-ingatlah," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Jamshah turut menyarankan orang ramai agar pergi ke tempat yang lebih sesuai untuk beriadah seperti di kolam renang untuk keselamatan. - Bernama

Khamis, Disember 12, 2013

EYEBALL SAYANG PEMANCAR ZON DUNGUN


Dungun 11/12/2013 - Eyeball SAYANG PEMANCAR bagi rakan-rakan radio amatur Zon Dungun telah diadakan di Kedai Penal "Tiada Masalah, Aaa Gitu" yang telah diatur bersama ahli-ahli CRC Terengganu yang diketuai oleh Presidennya 9W2DMM Afandi bin Mohamed.

Turut hadir 9M2LOK serta wakil dari Kuala Terengganu dan Marang. Seramai lebih kurang 40 orang menghadiri program yang diatur bagi merapatkan tali silaturrahim diantara rakan-rakan serta membincangkan program "MEGA EYEBALL" yang akan berlangsung pada 12hb. Disember, 2013 di Puncak Panorama, Kuala Terengganu. 

untuk gambaran selanjut sila KLIK DISINI

Rabu, Disember 11, 2013

Amaran Hujan Lebat (Peringkat Jingga)

Dikeluarkan pada: 09:30pm pada 10 Disember 2013
SEKSYEN A: AMARAN HUJAN LEBAT (PERINGKAT JINGGA)
Dikeluarkan pada : 12:17 pm pada 10 Disember 2013
Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana yang berlaku di negeri Kelantan (Daerah Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Putih, Pasir Mas, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai) dan Terengganu dijangka berterusan sehingga Rabu, 11 Disember 2013.
Keadaan ini akan menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah.

SEKSYEN B : NASIHAT HUJAN LEBAT (PERINGKAT KUNING)
Dikeluarkan pada : 12:17 pm pada 10 Disember 2013
Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka berlaku di negeri Pahang (Daerah Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin) mulai Rabu, 11 Disember 2013 sehingga Khamis, 12 Disember 2013.
Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah.

SEKSYEN C : AMARAN RIBUT PETIR DAN HUJAN LEBAT
Dikemaskini pada : 9:30 pm pada 10 Disember 2013
Ribut petir dan hujan lebat di negeri N. Sembilan (Daerah Jelebu, Jempol, Tampin, Kuala Pilah, Seremban dan Port Dickson) dan Melaka (Daerah Alor Gajah) dijangka berterusan sehingga lewat malam, Selasa 10 Disember 2013.
Keadaan cuaca yang sama dijangka berlaku di negeri Selangor (Daerah Gombak dan Hulu Langat), N. Sembilan (Daerah Rembau) dan Melaka (Daerah Melaka Tengah dan Jasin).
Keadaan ini berkemungkinan menyebabkan angin kencang.

Selasa, Disember 10, 2013

ULANGKAJI SAAT-SAAT AKHIR PEPERIKSAAN RAE 2/2013


Menggunakan inisiatif tersendiri rakan-rakan Radio Amator Kuala Terengganu yang diketuai oleh 9M2FUL En Saiful dan dibantu oleh 9W2OPB En. Haniff telah mengadakan kelas-kelas ulangkaji serta memberi kefahaman yang lebih mantap kepada rakan-rakan baru Radio Amator yang akan mengambil peperiksaan RAE 2/2013 yang akan diadakan pada 19/12/2013 akan datang.

Kelas ulangkaji telah diadakan dihadapan rumah 9W2TLS Tengku Amir di Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu.



En. Haniff memaklumkan bahawa kelas seumpama ini telahpun diadakan sejak sebulan yang lalu, memberi peluang kepada rakan-rakan radio amator untuk mengkaji serta memahami dengan sebenarnya keperluan serta kehendak SKMM dalam mempertabatkan keberkesanannya penglibatan radio amator dalam masyarakat.




Walaupun kehadiran rakan-rakan radio amator agak kurang, namun begitu beliau serta tenaga pengajar merasa berpuas hati diatas pencapaian rakan-rakan baru dalam usaha kearah kecemerlangan, terutama PEMANCAR NEGERI TERENGGANU.

Khamis, Disember 05, 2013

Negeri-negeri dilanda banjir diramal terus dicurah hujan


KUALA LUMPUR 5 Dis. - Cuaca di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor esok diramal mendung pada sebelah pagi manakala beberapa tempat di Kelantan, Terengganu, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak akan mengalami hujan.

Menurut Jabatan Meteorologi, beberapa tempat di Kelantan, Terengganu dan Pahang akan mengalami hujan pada sebelah petang dan ribut petir dijangka melanda beberapa tempat di Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Putrajaya, Selangor, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

Pada sebelah malam, beberapa kawasan sekitar Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Sabah dan Sarawak akan mengalami hujan manakala Johor, Putrajaya serta sekitar ibu negara mendung sementara tempat-tempat lain dijangka tidak mengalami hujan. - UTUSAN ONLINE

Rabu, Disember 04, 2013

Banjir di Pahang kian buruk, ramai dipindahkan

Banjir di Pahang kian buruk, ramai dipindahkan

KUANTAN - Banjir di Pahang kini dilaporkan semakin buruk apabila lebih 9,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sehingga 8 malam ini.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga kini 9,030 mangsa yang melibatkan 2,095 keluarga dipindahkan di lima daerah.

"Sebanyak 69 pusat pemindahan beroperasi di daerah Maran, Pekan, Rompin, Kuantan dan Jerantut.

"Kuantan mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 3,672 orang membabitkan 916 keluarga di 33 pusat pemindahan.

"Di Rompin pula 859 keluarga dengan 3,249 mangsa ditempatkan di 13 pusat pemindahan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Di Pekan, 932 mangsa dipindahkan ke 13 pusat pemindahan manakala di Maran, 1,124 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan.

"Jerantut pula merupakan daerah terbaharu yang mengalami banjir yang mana satu pusat pemindahan dibuka membabitkan 62 mangsa daripada 12 keluarga," kata jurucakap itu.

Katanya laluan yang ditutup bagi kenderaan ringan, Km28 Kuantan-Sungai Lembing, Km36 Jalan Gambang-Kuantan, Km16 Jalan Nenasi-Pekan, Km145 Jalan Jerangau-Jabor, Km72 Jalan Kuantan-Segamat dan Km10 Jalan Kuantan-Pekan.

Katanya, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat banjir.

Di JERANTUT, Ketua Polis daerah itu Suptrtendan Azid Ismail berkata lebih 10,000 penduduk di kawasan rendah sepanjang Sungai Tembeling dan Sungai Pahang dinasihati supaya bersedia untuk berpindah berikutan paras air di kedua-dua sungai semakin naik.

Azid berkata hujan yang tidak berhenti-henti sejak tiga hari lepas memang dijangka menyebabkan banjir di kawasan rendah terutama di Hulu Tembeling dan kawasan tebing sungai.