KUALA LUMPUR - Penduduk di Terengganu, Pahang dan Johor dinasihatkan bersiap sedia menghadapi episod ketiga hujan lebat dijangka bermula Rabu hingga Jumaat ini.
Pengarah Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, ia dijangka disertai air pasang besar dan tiupan angin kencang di Laut China Selatan.
Muhammad Helmi mengulas lanjut mengenai kenyataan media jabatan itu yang menyatakan hujan lebat itu boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah.
Antara kawasan terlibat di Terengganu adalah Dungun dan Kemaman manakala di Pahang pula Kuantan, Pekan dan Rompin sementara di Johor, Segamat dan Mersing.
Menurut Muhammad Helmi, bacaan jumlah hujan dicatatkan di Kuantan adalah antara tertinggi pernah direkodkan iaitu lebih 300 milimeter sehari, pada 2 Disember lepas.
"Bagaimanapun, sukar untuk kita mengaitkan episod hujan lebat ini dengan perubahan iklim.
"Tetapi para saintis mengakui ia disebabkan pertambahan kejadian cuaca ekstrem," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan