Ahad, Disember 15, 2013

Pantai, sungai Terengganu masih belum selamat


Kesemua pantai dan sungai di kawasan peranginan di Terengganu didapati tidak selamat untuk aktiviti air terutama pada musim tengkujuh sekarang, kata Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa.

Ia ekoran beberapa kes lemas di pantai telah dicatatkan sepanjang musim tengkujuh ini dengan terbaru, seorang lelaki nyaris lemas ketika mandi di Pantai Batu Buruk awal pagi tadi.

Manakala pada Jumaat, dua pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun terkorban ketika mandi di Pantai Teluk Bidara, Dungun. 

Justeru Jamshah mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti di tempat-tempat berisiko.  

Menurutnya sepanjang musim tengkujuh ini semua tempat seperti itu adalah tidak selamat untuk mandi dan disokong dengan faktor cuaca yang tidak menentu selain faktor geografi yang berubah.

Katanya orang ramai perlu lebih peka terhadap keadaan cuaca dan persekitaransebelum melakukan aktiviti di air terutamanya pada musim sekarang.   

"Sekarang ini musim tengkujuh dan bencana banjir baru sahaja melanda negeri ini, jadi orang ramai perlu waspada sebelum membuat keputusan bermandi-manda dikawasan berisiko seperti itu.

"Jika kita lihat sekarang nelayan sendiri tidak mengambil risiko turun ke laut pada musim tengkujuh ini kerana tahu bahaya yang menanti mereka jadi kita perlu beringat-ingatlah," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Jamshah turut menyarankan orang ramai agar pergi ke tempat yang lebih sesuai untuk beriadah seperti di kolam renang untuk keselamatan. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan