Sabtu, Mac 02, 2013

Polis adakan sidang media isu Lahad Datu


Post Pic
KUALA LUMPUR: Polis akan mengadakan sidang media di Lahad Datu kira-kira jam 5 petang ini berhubung operasi pasukan keselamatan terhadap kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah. 
 
Sehingga kini dilaporkan dua komando polis terkorban dalam serangan mortar oleh kumpulan Filipina itu manakala dua lagi cedera.
 
Wartawan sudah diarahkan keluar dari lokasi kejadian atas sebab keselamatan. 
 
Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yusof memberitahu Bernama, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar sudah pun berada di Sabah. 
 
"Harap bersabar dan tunggu sidang media oleh polis," katanya.
 
Dalam pada itu, difahamkan perintah berkurung telah dikenakan di bandar Lahad Datu dan kawasan sekitarnya dari jam 4 petang tadi berikutan pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan kumpulan bersenjata Sulu di kampung Tanduo selepas pencerobohon selama 23 hari.
 
Seorang jurucakap polis berkata, perintah berkurung itu bagi memastikan keselamatan awam.
 
“Ia merupakan langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Kami berharap orang ramai dapat mengikutinya dan memberi kerjasama dengan pasukan keselamatan,” katanya.
 
Turut difahamkan hanya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang berkuasa untuk mengeluarkan kenyataan berhubung insiden itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan