Rabu, Februari 27, 2013

Cikgu Zainon akan terus perjuang hak balu dan anak yatim



Bekas aktivis Pas, Cikgu Zainon Ismail (C.N Al-Afghani) yang juga merupakan seorang bekas ahli Pas seumur hidup, bertekad akan terus memperjuangkan hak balu dan anak yatim kepada 14 mangsa yang terbunuh dalam peristiwa Memali.

Katanya, beliau tidak pernah malu untuk mengaku yang dirinya telah dipecat oleh PAS atas alasan untuk membela balu dan anak yatim yang tidak mendapat hak yang sepatutnya menerusi Tabung Memali.


"Saya tidak pernah malu untuk mengaku hal tersebut kerana atas rasa tanggungjawab terhadap mereka, selagi hak tersebut tidak dikembalikan kepada mereka, selagi itu saya akan terus perjuangkan isu ini.

"Isu Tabung Memali memang meninggalkan persoalan kerana ketika ia ditubuhkan tidak pernah ada jawatankuasa khas yang mencatat kutipan derma yang disumbangkan oleh orang ramai untuk membantu balu dan anak yatim,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat yang dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Dato’ Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di ADTEC, Kemaman, malam tadi.

Katanya, hasil pungutan derma melalui Tabung Memali berjumlah jutaan ringgit tetapi tidak disalurkan kepada mereka yang sepatutnya.

"Setiap kali ceramah diadakan oleh PAS ketika itu di sekitar tahun 1986 sehingga 2000, kutipan derma untuk Tabung Memali mencecah ribuan ringgit,” katanya.

"Namun, sehingga kini wang tersebut tidak sampai kepada mereka yang berhak dan menyebabkan ada antara balu dan anak yatim terbabit terus hidup dalam kesusahan kerana hak mereka dinafikan oleh pemimpin PAS,” jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan