Hari ini pula Raya masuk hari ketiga. Silap hari bulan kadar kolesterol, gula dan garam menjulang jika anda langgar pantang. Apa tidaknya kalau sayur lodeh, rendang lembu, ayam kurma, kari, kuih-muih sudah jadi santapan harian tak sampai seminggu badan macam dipam-pam.
Nak bersenam pula ikut mood, konon tunggu datang seru. Akibatnya? Badan selalu buat ragam.
Hari ini anda setakat tidak nampak senjata sulit tetapi ada musibah lebih dahsyat yang tidak dapat dilihat.
Harap tabah... sebab anda mungkin dicengkam risiko zakar lemah (mati pucuk). Ia bukan kes 'pucuk di cita ulam mendatang' tapi bahaya mengancam tanpa diundang.
Satu kajian di Australia yang disiarkan dalam Jurnal Perubatan Seksual mendedahkan ada kaitan gemuk dengan mati pucuk.
Laman CNN juga melaporkan bahawa berat badan yang melampau - lebih-lebih lagi di perut - boleh menjejas fungsi seksual.
Apa pula reaksi anda?
Jika dulu ramai Adam yang pandang ringan masalah 'berat' sebab di mata mereka ia hanya kurang sedap 'dipandang' tetapi bagaimana pula sekarang? Lebih-lebih lagi sudah terdedah senjata sulit tidak mampu bangkit?
Mati pucuk boleh 'mematikan' jasmani dan rohani.
Oh Ya! Viagra ada, apa masalahnya? Memang benar tetapi sampai bila? Ia hanya 'tenaga' yang sementara. Kebahagiaan rumah tangga pula harus berkekalan.
Ia bukan setakat saling hormatmenghormati atau saling memahami malah hubungan seksual yang segar menyuburkan kerukunan rumah tangga.
Saya teringat kisah seorang lelaki di Amerika Syarikat minggu lalu yang menyaman doktor gara-gara zakarnya dipotong tanpa diberitahu, empat tahun lalu.
Tanpa minta izin, doktor buat keputusan sendiri semasa pesakit 'tidak sedar diri'. Apabila pesakit bangun baru terpandang zakar dah kudung.
Si isteri pula, yang juga plaintif dalam kes saman itu turut sekaki. Kata si isteri: 'Saya tuntut ganti rugi sebab sudah hilang khidmat, cinta dan kasih sayang'.
Alahai! Tak payah sebutlah apa yang dimaksudkan si isteri benda hilang tu!
Jika mati pucuk ini berlaku di kalangan warga senja mungkin dapat difahami. Maklum sajalah apabila usia lanjut badan semakin kurang tenaga dan kendur pula nafsu... bukan macam dulu-dulu.
Tidak perlu baca buku pun sudah tahu, jika usia meningkat tua hormon seks (testosteron) pada lelaki akan tandus, seiring selera seks sekali gus.
Malah usah terkejut, kaum Adam juga alami menopaus persis kaum Hawa. Ia dipanggil andropaus.
Yang mengejutkan, ramai Adam setempat yang ditimpa mati pucuk masih muda belia.... dalam usia lingkungan 40 tahun, usia yang sepatutnya masih bertenaga.
Hmmm... Bagi Adam yang malas bersenam atau tidak jaga makan, kes mati pucuk ini mungkin jadi penyedar betapa bernilainya tubuh segar.
JIKA pada satu pagi sebelum mandi, anda mahu intai 'senjata sulit' sendiri tapi malangnya anda tercari-cari... jaga-jaga.
Pelik juga, kenapa pula tak nampak sedangkan benda tu melekat tak bergerak-gerak? Mata anda juga belum rabun dan bal lampu juga belum kelabu, jadi apa silapnya?
Jawapannya mudah, mata anda okay, lampu anda juga masih baru... hanya perut dan berat badan anda saja yang buat angkara. Perut gendut halang mata nampak benda di bawah sana.
Kalau jasmani anda begini, kata doktor anda mungkin antara ribuan Adam yang di ambang bahaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan