KUALA TERENGGANU 28 Ogos - Seramai 77 atlet anak Terengganu kini dianugerahkan biasiswa dan bantuan lain bagi menyambung pelajaran ke pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negara.
Ia demi masa depan mereka dan berdasarkan maklumat Majlis Sukan Negeri, seramai 54 orang sedang mengikuti pengajian di dalam negeri ini manakala 23 lagi di luar.
Menurut sumber kerajaan negeri, daripada jumlah itu 13 adalah penerima biasiswa Yayasan Terengganu, 15 biasiswa sukan Kementerian Belia dan Sukan manakala 49 orang menerima biasiswa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi nasional (PTPTN).
Katanya, kerajaan negeri berusaha meningkatkan tahap pencapaian akademik para atlet agar penglibatan mereka dapat terus menjamin sumber ekonomi selain pemberian imbuhan jangka pendek.
Melalui Majlis Sukan Negeri katanya, kerajaan negeri telah menjalin persefahaman dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta di bawah Program Kecemerlangan Akademik.
"Ia bagi membantu atlet mendapat tempat dengan kelayakan minimum.
Tindakan ini bertujuan memastikan aspek akademik diberi perhatian selain menjadi atlet cemerlang.
"Dengan bekalan kelulusan akademik yang ada, selepas bersara nanti, mereka lebih mudah untuk membina kerjaya sendiri dengan masa depan lebih terjamin," ujar sumber itu.
Kerajaan negeri juga telah memberi biasiswa pengajian, bayaran asrama dan bantuan tuisyen bagi atlet Sukan Malaysia (Sukma) dan atlet Sekolah Sukan Terengganu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan