Jumaat, Ogos 19, 2011

PERTANDINGAN MENCIPTA VIDEO MERDEKA


Image Detail

Cyberjaya, 2011 – Bersempena dengan Hari  Kemerdekaan negara yang ke-54, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menganjurkan pertandingan penghasilan video kreatif khusus kepada para pelajar sekolah menengah iaitu  Pertandingan Mencipta Video Merdeka.

Di antara tujuan utama pertandingan ini diadakan adalah untuk mencungkil bakat para pelajar sekolah menengah yang meminati bidang perfileman dan multimedia kreatif. Selain itu juga, ia bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat cintakan negara di  kalangan para remaja masa kini.


SKMM juga menganjurkan pertandingan ini sebagai susulan kepada Pertandingan Liga Remaja Kreatif 2010 yang berakhir pada awal Julai lalu, di mana sambutan terhadap pertandingan tersebut adalah amat baik daripada sekolah-sekolah di seluruh Malaysia. Di  dalam pertandingan berkenaan, para pelajar telah berjaya  mempamerkan kreativiti mereka dengan menghasilkan filem-filem pendek yang memerlukan mereka mendalami kemahiran IT dan multimedia.

Kejayaan SKMM menganjurkan pertandingan Liga Remaja Kreatif 2010 inilah yang menjadi titik tolak dan galakan kepada  Pertandingan Mencipta Video Merdeka. Selaras dengan bulan kemerdekaan, tema pertandingan untuk kali ini ialah ‘ICT DAN KEMERDEKAAN’ dan video mesti dihasilkan dalam Bahasa Malaysia.

Seperti biasa, SKMM telah menyediakan hadiah-hadiah  yang menarik kepada pemenang dalam pertandingan kali ini. Pemenang-pemenang akan menerima hadiah-hadiah seperti wang tunai yang  berjumlah RM13,500, iPad, iPhone dan kamera digital. Mereka juga akan membawa pulang piala dan sijil penyertaan.

Pertandingan ini dibuka kepada semua pelajar sekolah menengah yang juga warganegara Malaysia mulai dari 1 Ogos 2011 sehingga 7 September 2011. Setiap penyertaan mestilah dilakukan secara berkumpulan yang terdiri daripada 4 orang pelajar dan mestilah hasil karya asli yang belum disertakan di dalam mana-mana pertandingan.

Mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan ini, boleh melayari laman sesawang SKMM di  www.skmm.gov.my untuk mengetahui syarat-syarat pertandingan dan maklumat lanjut mengenai pertandingan tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan