Rabu, Ogos 17, 2011

Kayuhan berbasikal singgah sahur semarak ambang merdeka



KUALA TERENGGANU – Lebih 200 pengayuh basikal ‘mountain bike’ dan ‘fixie’ akan menyertai Program Kayuhan Singgah Sahur/Ambang Merdeka 2011 anjuran Kelab Remaja Terengganu (KRT) hari ini.

Pengerusinya, Saiful Bahari Datuk Baharuddin berkata, program amal ini turut mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Kerajaan Negeri, dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dijangka turut serta mengayuh basikal sambil mengagihkan juadah bersahur kepada mereka yang bertugas malam.


Menurutnya, kayuhan akan bermula di Taman Awam Batu Buruk mulai jam 11 malam dan dijangka berakhir jam 3 pagi dengan membawa juadah seperti nasi goreng, kurma dan air zamzam untuk diagihkan.

Selain mengagihkan juadah bersahur kepada mereka yang bertugas pada waktu malam seperti di balai bomba, polis dan pengawal keselamatan di premis kerajaan, kita turut mengedarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan hari kemerdekaan ke-54.

“Mereka yang menyertai program ini terdiri daripada ahli Kelab Remaja Terengganu yang menjadi benteng dan pewaris generasi akan datang serta mereka yang meminati sukan berbasikal,” katanya ketika ditemui pada sidang media di sini, semalam.

Saiful berkata, orang ramai yang ingin turut serta dalam program ini boleh berkumpul di Batu Buruk di mana peserta akan berbasikal sejauh 20 kilometer melalui beberapa kawasan antaranya, Primula Hotel, Taman Shah Bandar, Pasar Kedai Payang, Kampung Cina, Hotel Seri Malaysia dan berakhir di Kediaman Seri Iman untuk bersahur.

“Selain daripada peserta yang menyertai program ini, golongan muda bermotosikal juga diajak untuk turut sama bersahur dengan Menteri Besar di Kediaman Seri Iman.

“Acara yang diadakan ini adalah kesinambungan kepada program Kayuhan Malam Amal yang diadakan sebelum ini dengan melibatkan lebih 600 penyertaan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Terengganu berkata, penganjuran aktiviti sebegini secara tidak langsung dapat memberi pendedahan kepada ahli bagaimana mendekati masyarakat dengan cara turun padang beramah mesra serta menghulur bantuan kepada yang memerlukannya.

Katanya, usaha ini bukan sahaja sebagai sebahagian daripada pendedahan awal kepada golongan muda untuk menjadi seorang pemimpin yang peka dan menjaga kebajikan rakyat, sebaliknya dapat menghindari mereka daripada terjebak dengan kegiatan tidak berfaedah pada waktu malam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan