Selasa, Ogos 23, 2011

‘Perang’ dekorasi semarak ketibaan Aidilfitri



Rekaan gerai menjual aksesori Aidilfitri berbentuk kubah menyerlahkan tema 'Le souq' di The Curve.
‘PERANG’ set binaan dan dekorasi Aidilfitri bagai menjadi tradisi di pusat beli-belah ibu kota setiap kali menjelang Syawal.
Terbukanya tirai Ramadan, dapat dilihat aneka hiasan atau binaan bertema Aidilfitri tersergam indah di kebanyakan ruang legar utama pusat beli-belah.
Rekaan dekorasi berwarna-warni sambil ketupat dan pelita menjadi hiasan wajib secara tidak langsung menyemarakkan lagi lebaran yang bakal menjelang.
Lebih menghangatkan suasana jika pentas rekaan diserikan dengan persembahan yang mampu menghidupkan suasana raya.

Bumbung gerai-gerai direka sedondon dengan bumbung Rumah Limas, Johor.
Seperti tahun terdahulu, Suria KLCC merupakan pusat beli-belah yang tidak mahu ketinggalan mencetuskan suasana Aidilfitri kepada pengunjungnya dengan rekaan bertema Memori Lebaran.
“Kami bina sebuah rumah kampung di tengah-tengah pusat beli-belah bagi mengembalikan memori beraya di kampung,” kata Pengurus Perhubungan Awam dan Komunikasi Suria KLCC, Fartini Zaharuddin kepada Mingguan mStar.
Menerusi rumah tersebut, beranda yang sering digunakan untuk menyambut tetamu direka luas kerana di ruang itu juga akan berlangsungnya aktiviti sepanjang Ramadan.
Hiasan seperti pelita, ketupat, lampu berwarna-warni, jambangan bunga dan sangkar burung mencetuskan suasana desa.
Fartini berkata replika rumah tersebut bertujuan menarik perhatian pengunjung dari dalam dan luar negara yang sering memberi sokongan kepada pusat beli-belah itu.
Penggunaan vespa sebagai hiasan amat bertepatan dengan tema kedesaan.
“Setiap hari kami mengadakan persembahan seperti tarian dan persembahan muzik tradisional.
Ceria di ‘Le Souq’
Keriangan Aidilfitri turut dirasai di pasaraya The Curve apabila ruang legar utama dihias indah dengan tema ‘Le Souq’; pasar meriah di Timur Tengah.
Tersergam indah...Replika rumah kampung dihias cantik di ruang legar utama Suria KLCC amat sesuai dengan tema Memori Lebaran pusat beli-belah itu sempena Aidilfitri tahun ini.
"Tahun ini suasana menjadi lebih ceria dengan tema yang diketengahkan. Lampu kelip, pokok kurma dan tempayan akan memikat pengunjung dan membolehkan mereka merasai suasana hari raya ketika membeli,” kata Pengurus Ruang Legar utama The Curve, Adele D.Flores.
Rekaan ‘Le Souq’ menampilkan pentas berbentuk bulat di bahagian tengah untuk persembahan sambil di kelilingi gerai-gerai yang menawarkan pakaian, aksesori dan makanan untuk hari raya.
Antara acara yang telah dan bakal dilangsungkan di sini termasuklah ‘Riang Ria Raya Dance’, ‘Arabian Souq Dance’ dan Panggung Raya Muzikal.
“Menampilkan rekaan unik dan aktiviti merupakan cara kami menghargai pengunjung, terutama pada musim perayaan,” kata Adele.
Tiang-tiang ini mengingatkan kita kepada seni bina di Mesir.
Sambil membeli-belah, pengunjung berpeluang mendapatkan kad Touch and Go, sampul duit raya dan kerongsang apabila berbelanja di sini.
Lebaran di Rumah Limas
Rumah Limas, yang terkenal di Johor dijadikan replika di pusat beli-belah SACC Mall, Shah Alam.
“Sebelum ini kita pernah buat set stesen keretapi, rumah Melaka dan jeti. Tahun ini kita tampilkan rumah tradisional Johor yang semakin dilupakan generasi hari ini,” kata Pengurus SACC Mall, Mohd Faizal Dolah.
Ruang legar utama Mid Valley berkonsep bazar Arab.
Mohd Faizal berkata, mempamerkan rekaan bertema Aidilfitri menjadi perkara wajib sejak pusat-beli belah itu dibuka pada tahun 2005.
“Kita akui semua pusat beli-belah berlumba-lumba dalam hal ini bagi mewujudkan suasana raya dan kita juga tak mahu ketinggalan,” katanya.
Selain berfungsi sebagai hiasan untuk orang ramai mengambil gambar, rekaan ini juga dijadikan tempat untuk pemuzik tradisional mengadakan persembahan setiap hari.
“Sambil melihat persembahan, pengunjung boleh berbelanja di gerai sekeliling yang berkonsep sama,” katanya.
Mid Valley pilih seni bina klasik
Seni bina berbentuk kubah.
Bazar Arab dan motif Islamik yang tersergam di ruang legar utama pusat beli-belah Mid Valley nyata menghangatkan Aidilfitri.
“Bazar yang ada menjual barangan keperluan hari raya seperti baju kurung, samping, hiasan rumah, hamper dan rendang,” kata Eksekutif Perhubungan Awam Mid Valley, Jacqueline Ng Soh Ping.
Bagi menyerlahkan konsep Arab yang mahu diketengahkan, terdapat juga makanan Timur Tengah seperti kurma, kebab dan shisha dijual.
Pengunjung berpeluang membeli-belah dalam suasana pasar di Timur Tengah apabila pengurusan The Curve menampilkan tema 'Le Souq' untuk pusat beli-belah itu pada tahun ini.
Keseluruhannya, berkunjung ke Mid Valley menjelang Aidilfitri mengingatkan kita kepada seni bina klasik di Mesir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan