Jumaat, Februari 11, 2011

Terengganu Perkenal Kelas Maya Di Sekolah Rendah

KUALA TERENGGANU, 9 Feb (Bernama) -- Sistem pengajaran secara maya diperkenalkan di tiga sekolah rendah di Terengganu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata sebagai permulaan tiga kelas di Sekolah Kebangsaan Paya Bunga, Sekolah Kompleks Seberang Takir di sini, dan Sekolah Teluk Kalong di Kemaman dipilih untuk melaksanakan projek perintis itu.

"Kos untuk mengadakan sebuah kelas maya ini dianggar antara RM25,000 hingga RM30,000 bergantung kepada kemudahan yang ada dan kita akan perluaskannya secara berperingkat ke sekolah lain jika ia menunjukkan pencapaian yang memuaskan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kelas maya di Sekolah Kebangsaan Paya Bunga di sini Rabu.


Pengajaran di kelas maya menggunakan peralatan multimedia secara interaktif dan guru tidak lagi menggunakan papan putih atau papan hitam, sebaliknya menggunakan 'smart board' yang dihubungkan terus ke talian internet dan e-Book murid.

'Smart board' itu juga mempunyai ciri skrin sentuh untuk menukar sesuatu halaman dan boleh mengesan kesilapan yang dilakukan murid.

Ahmad berkata kerajaan negeri akan memasukkan peruntukan khusus dalam bajet negeri tahun hadapan bagi menjayakan projek kelas maya itu.

Program kelas maya ini adalah hasil lawatan guru-guru pakar ke Korea, katanya yang yakin melalui sistem pengajaran itu, murid akan lebih berminat mengikuti sesi pembelajaran di kelas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan