KUALA LUMPUR: Pertemuan semula dengan kekasih lama yang dijejak melalui laman sosial Facebook menyebabkan seorang isteri lari meninggalkan suaminya untuk tinggal bersekedudukan dengan bekas teman lelakinya itu.
Malahan, wanita berusia 30-an tahun itu, yang sanggup membawa bersama anaknya berusia lebih setahun, turut menuntut supaya suaminya menceraikannya, lapor akhbar Harian Metro, semalam.
Bertindak atas laporan suaminya, wanita itu bersama bekas teman lelakinya ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam serbuan di sebuah rumah di Shah Alam, Rabu lalu.
Sumber Jais berkata dalam serbuan kira-kira 3 pagi itu, pasangan kekasih terbabit gagal membuktikan mereka mempunyai ikatan sah mengikut hukum syarak apabila disoal siasat.
'Mereka dibawa ke pejabat Jais untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan secara lisan,' kata sumber itu.
Menurutnya, siasatan awal Jais mendapati suami wanita terbabit membuat laporan mengenai kecurangan isterinya, selain mendakwa isterinya melarikan anak mereka.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Jais, Encik Mohamad Rais Rasid, mengesahkan kepada Harian Metro bahawa ada serbuan dan tangkapan yang dilakukan pihaknya terhadap wanita tersebut bersama bekas teman lelakinya itu.
'Kami sudah menyoal siasat pasangan terbabit dan mereka bakal dihadapkan ke Mahkamah Syariah pada Jun depan atas kesalahan berkhalwat,' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan