KAHERAH: Kira-kira 300 rakyat Malaysia termasuk 244 pelajar yang masih berada di Mesir akan dipindahkan sekiranya demonstrasi anti Presiden Husni Mubarak yang dijangka lebih besar esok menyebabkan keadaan lebih buruk.
Duta Besar Malaysia ke sini, Datuk Mohd Fakhrudin Abdul Mukti, berkata tiga pesawat C-130 yang masih berada di Jeddah, bersedia untuk memindahkan rakyat sekiranya keadaan memerlukan.
"Selain pelajar, kita ada juga ada 15 pekerja dan selebihnya kaki tangan kedutaan dan keluarga mereka.
"Kedutaan mempunyai nombor telefon semua pelajar terbabit termasuk mereka yang masih berada di luar Kaherah seperti Iskandariah, Mansurah dan Tanta," katanya kepada pemberita di Kompleks Rumah-rumah Negeri Hayyul Asyir, Madinat Nasr di sini, petang tadi.
Mohd Fakhrudin berkata, perpindahan juga bakal membabitkan pelajar dari luar Kaherah.
"Mereka terus berada di luar Kaherah itu kerana suasana lebih selamat kerana berada jauh dari kota raya ini.
"Mereka akan dipindahkan ke Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah (DMAK) atau terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah sekiranya diperlukan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan