HULU TERENGGANU - Kegembiraan 11 rakan sekerja yang juga kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) berkelah di Air Terjun Belukar Bukit, di sini semalam, bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemui lemas sewaktu sedang mandi-manda di destinasi pelancongan itu.
Malah, rakannya, Mohd Helmi Hassan, 24, yang juga juru x-ray di HSNZ berasal dari Tanah Merah, Kelantan juga hampir lemas ketika cuba menolong mangsa, tetapi berjaya diselamatkan oleh orang awam.
Dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu (HHT).
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata, mangsa dan rakan-rakannya dikatakan tiba ke tempat perkelahan itu bagi menghabiskan cuti hujung minggu mereka kira-kira jam 9.30 pagi semalam sebelum mandi-manda di situ.
“Sewaktu sedang asyik mandi-manda itu, mangsa yang berasal dari Pulau Kerengga, Marang dikatakan terjun dari atas batu lalu tenggelam kerana tidak pandai berenang.
Melihat insiden itu, rakannya (Mohd Helmi) cuba menolong tetapi gagal kerana mangsa berpaut kepadanya terlalu kuat.
“Malah, rakannya juga hampir lemas akibat pautan yang terlalu kuat tetapi berjaya dibantu orang awam lalu dihantar ke HHT sebelum dirujuk ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan. Kini, dia dilaporkan stabil.
“Mangsa yang ditemui orang awam dihantar ke HHT untuk siasatan lanjut dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat mati lemas. Kejadian diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan