Khamis, Disember 05, 2013

Negeri-negeri dilanda banjir diramal terus dicurah hujan


KUALA LUMPUR 5 Dis. - Cuaca di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor esok diramal mendung pada sebelah pagi manakala beberapa tempat di Kelantan, Terengganu, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak akan mengalami hujan.

Menurut Jabatan Meteorologi, beberapa tempat di Kelantan, Terengganu dan Pahang akan mengalami hujan pada sebelah petang dan ribut petir dijangka melanda beberapa tempat di Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Putrajaya, Selangor, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

Pada sebelah malam, beberapa kawasan sekitar Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Sabah dan Sarawak akan mengalami hujan manakala Johor, Putrajaya serta sekitar ibu negara mendung sementara tempat-tempat lain dijangka tidak mengalami hujan. - UTUSAN ONLINE

Rabu, Disember 04, 2013

Banjir di Pahang kian buruk, ramai dipindahkan

Banjir di Pahang kian buruk, ramai dipindahkan

KUANTAN - Banjir di Pahang kini dilaporkan semakin buruk apabila lebih 9,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sehingga 8 malam ini.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga kini 9,030 mangsa yang melibatkan 2,095 keluarga dipindahkan di lima daerah.

"Sebanyak 69 pusat pemindahan beroperasi di daerah Maran, Pekan, Rompin, Kuantan dan Jerantut.

"Kuantan mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 3,672 orang membabitkan 916 keluarga di 33 pusat pemindahan.

"Di Rompin pula 859 keluarga dengan 3,249 mangsa ditempatkan di 13 pusat pemindahan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Di Pekan, 932 mangsa dipindahkan ke 13 pusat pemindahan manakala di Maran, 1,124 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan.

"Jerantut pula merupakan daerah terbaharu yang mengalami banjir yang mana satu pusat pemindahan dibuka membabitkan 62 mangsa daripada 12 keluarga," kata jurucakap itu.

Katanya laluan yang ditutup bagi kenderaan ringan, Km28 Kuantan-Sungai Lembing, Km36 Jalan Gambang-Kuantan, Km16 Jalan Nenasi-Pekan, Km145 Jalan Jerangau-Jabor, Km72 Jalan Kuantan-Segamat dan Km10 Jalan Kuantan-Pekan.

Katanya, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat banjir.

Di JERANTUT, Ketua Polis daerah itu Suptrtendan Azid Ismail berkata lebih 10,000 penduduk di kawasan rendah sepanjang Sungai Tembeling dan Sungai Pahang dinasihati supaya bersedia untuk berpindah berikutan paras air di kedua-dua sungai semakin naik.

Azid berkata hujan yang tidak berhenti-henti sejak tiga hari lepas memang dijangka menyebabkan banjir di kawasan rendah terutama di Hulu Tembeling dan kawasan tebing sungai.

Selasa, November 26, 2013

Pemilik senjata tiruan diberi tempoh sebulan untuk serahkan senjata


KUALA LUMPUR - Pemilik senjata tiruan tanpa lesen diberi tempoh sebulan bermula hari ini untuk menyerahkan senjata berkenaan, yang digunakan untuk aktiviti bersukan, kepada polis dan membuat permohonan lesen.
Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, tempoh itu akan berakhir pada 25 Disember.
Beliau berkata, tempoh berkenaan diberikan berikutan peningkatan perolehan senjata dalam aktiviti sukan menembak seperti senjata Paintball Marker, Airsoft Gun dan BB Gun dan polis perlu mengawal penggunaannya kerana khuatir ia digunakan untuk tujuan jenayah.
Katanya, permohonan lesen berkenaan perlu dibuat kerana tiada individu dibenarkan memiliki senjata tiruan mahupun senjata api di negara ini kecuali pihak pasukan keselamatan dan mereka yang mempunyai lesen.
"Permohonan lesen itu adalah mengikut ketetapan Seksyen 36 Akta Senjata 1960 iaitu senjata tiruan merujuk kepada apa-apa yang menyerupai senjata, sama ada atau tidak melepaskan sesuatu letusan, peluru, bedilan, cecair berbahaya, gas dan lain-lain benda,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zulkifli berkata, adalah menjadi kesalahan jika seseorang itu mengimport, memiliki dan menjaga senjata tiruan dan sekiranya disabitkan mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.
Jika senjata tiruan itu digunakan untuk jenayah dan disabitkan, mereka akan dihukum mengikut Seksyen 6 Akta Senajatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang mengenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan tiga kali sebatan. - Bernama

Hantar pasukan sukarelawan

Hantar pasukan sukarelawan

KOTA BHARU - Seramai 2,000 sukarelawan IM4U, terdiri daripada pelajar Politeknik Kota Bharu (PKB) bersedia membantu masyarakat dalam menghadapi bencana banjir yang dijangka berlaku di negeri ini pada bila-bila masa.

Pengarahnya, Noor Azahan Othman berkata, pelbagai persiapan dilakukan pihak terbabit, termasuk menyediakan jaket keselamatan, kasut but, payung dan vest.

“Tahun ini, kita akan hantar semua sukarelawan ke pusat pemindahan banjir berbanding tahun sebelumnya yang hanya menjalankan gotong-royong bagi membersihkan kediaman yang dilanda banjir.

“Jadi kita harap dengan segala kepakaran yang ada pada setiap pelajar ini, sekurang-kurangnya dapat membantu mangsa banjir daripada bersedih dan memberi dorongan semangat kepada golongan ini menghadapi situasi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bertemu sukarelawan IM4U di Dewan Sri Mawar PKB, Kok Lanas di sini, semalam.

Noor Azahan berkata, pihaknya juga sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui program bersama sepanjang tahun bagi membantu membersihkan kawasan dilanda banjir.

“Insya-ALLAH, jika tiada aral melintang dan mendapat maklum balas Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan diarahkan untuk menghantar pasukan, kita sudah bersedia.

“Diharap dengan bantuan dan kelengkapan serta persediaan secara fizikal dan mental ini, secara tidak langsung juga menggalakkan pelajar menyertai aktiviti sukarelawan yang sebelum ini tidak diperoleh dalam bilik darjah,” katanya.

Isnin, November 25, 2013

JBPM Kelantan bersedia hadapi banjir

JBPM Kelantan bersedia hadapi banjir
TUMPAT – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Negeri Kelantan sudah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi tugas menyelamatkan mangsa banjir sepanjang musim tengkujuh yang dijangka berlaku pada bila-bila masa.

Pengarah JPBM Kelantan, Azmi Osman menegaskan, keutamaan semua pegawai dan anggota bomba pada musim banjir adalah penekanan kekuatan mental sebagai langkah persediaan jika banjir berlaku dalam tempoh masa panjang.

Menurutnya, beberapa siri kursus dan kaunseling diadakan untuk memberi keyakinan kepada semua pegawai serta anggota bomba.

"Sekiranya banjir berlaku untuk tempoh masa yang lama, anggota perlu ketahanan kuat untuk berdepan dengan sebarang insiden.

"Anggota bomba sudah bersiap sedia secara keseluruhannya, sama ada dari segi mental, fizikal, peralatan dan kemahiran dalam menangani fenomena banjir," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan JPBM Negeri Kelantan di Balai Bomba Tumpat, di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Azmi berkata, sokongan lain dari segi peralatan berada dalam keadaan baik apabila sebanyak 58 bot dan kenderaan utiliti bersiap sedia menjalankan operasi menyelamat.

Katanya, unit rondaan di setiap daerah digerakkan berkuat kuasa kelmarin dan akan membuat rondaan secara berkala supaya jabatan itu dapat bertindak dengan pantas.


"Pasukan itu akan meronda sungai dan kawasan sering dinaiki air secara berkala. Mereka guna utiliti dan motosikal ke kawasan terbabit. Di samping itu kita beri khidmat nasihat kepada penduduk agar mereka sentiasa peka dengan berita semasa berhubung banjir," katanya.

Sabtu, November 23, 2013

SPM: Kertas Matematik, Matematik Tambahan bocor?

SPM

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima aduan daripada tiga individu yang mendakwa kertas soalan Matematik dan Matematik Tambahan bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, bocor.

Mohd Husaini Jaslee, Nor Izwan Abu Bakar dan Mohd Rizuan Abd Rashid turut menyerahkan salinan yang didakwa kertas soalan bocor itu kepada pemberita pada sidang media di pejabat PPIM di sini hari ini, yang dihadiri Pengarah Latihan PPIM Dr Izham Nayan.

Mohd Husaini, 30, berkata beliau mengetahui perihal kertas soalan yang didakwa bocor itu daripada beberapa pelajar sebuah sekolah di Seksyen 5, Wangsa Maju pada 19 November lepas.

"Kata mereka, kertas itu diedar ketika mengikuti satu seminar SPM 2013 yang dikelola seorang guru di Masjid Mua'adz Bin Jabal, Setiawangsa pada 17 November lepas bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang.

Jumaat, November 22, 2013

Banjir: 100 keluarga di Rantau Panjang diarah bersiap untuk pindah



KOTA BHARU: Kira-kira 350 orang daripada 100 keluarga penduduk Kampung Tasek Bakong di Rantau Panjang, Pasir Mas, diarah bersiap sedia untuk berpindah berikutan air Sungai Golok yang semakin melimpah dari tebing, hari ini. 


Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Pegawai Bomba Kanan I Zaimi Samat, berkata paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang meningkat kepada 7.9 meter iaitu di paras amaran berikutan hujan lebat sejak semalam. 


"Penduduk diminta bersiap sedia untuk dipindahkan sekiranya air naik menjelang malam ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. 



Zaimi berkata tujuh bot, sebuah lori dan tiga kenderaan lain akan digunakan untuk proses menyelamat. 

Beliau turut menasihati penduduk supaya tidak menyeberangi Sungai Golok menggunakan sampan untuk ke negara jiran berikutan peningkatan paras air dan arus deras. - BERNAM