Jumaat, Januari 24, 2014

Suhu di Pantai Timur catat rekod terendah



KUALA TERENGGANU: Suhu di sekitar Besut turun kepada 19 darjah Celsius pagi semalam, iaitu rekod suhu terendah pernah dicatatkan di daerah itu. 

Pengarah Pejabat Meteorologi Kelantan/Terengganu, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Jenuwa Husin, berkata Kuala Krai di Kelantan turut merekodkan suhu sejuk terendah sehingga 17 darjah Celsius semalam, sekali gus mencatatkan rekod pertama di Pantai Timur.


"Penurunan suhu itu disifatkan satu rekod, berbanding suhu biasa yang dicatatkan pada kadar paling minimum sebelum ini 23 darjah Celsius di dua kawasan itu," katanya ketika dihubungi BH di sini, sebentar tadi. 


Katanya, keadaan itu berpunca daripada luruan udara sejuk dari tanah besar China (kawasan bertekanan tinggi) bergerak ke Laut China Selatan yang biasa terjadi ketika Monsun Timur Laut.

Sabtu, Januari 18, 2014

Seorang remaja dikhuatiri lemas dipukul ombak


PASIR PUTEH - Seorang remaja perempuan hilang dan dikhuatiri lemas manakala empat rakannya yang hampir lemas terselamat, ketika mandi dan berkelah di pantai Air Tawar, Kuala Tok Bali di sini hari ini.

Norfarahani Yusof, 19, hilang dihanyut ombak manakala sepupunya Norafiqah Akmal Mohd Saufi, 14, yang ada bersama mangsa pada kejadian yang berlaku pukul 3.30 petang itu sempat diselamatkan seorang lelaki, Norisam Karim, 40, yang melihat kejadian itu.

"Ketika kejadian, saya berada di daratan kira-kira 30 meter apabila melihat Norafiqah terkapai-kapai. Saya berenang dengan seorang lagi lelaki yang tidak dikenali, lalu membawanya ke tepi pantai," kata Norisam kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Norafiqah berkata pada mulanya mangsa cuba membantunya ketika dia lemas tetapi Norfarahani didapati hilang dihanyutkan ombak setelah terlepas daripada genggaman tangannya.

"Saya hanya sempat melihat dia tenggelam timbul dan meminta tolong tetapi selepas itu dia hilang dihanyutkan ombak," katanya dengan sedih.

Norafiqah berkata dia dan mangsa serta tiga rakan remaja lelaki datang untuk berkelah dan mereka pernah datang ke situ kira-kira dua tahun lepas.

Muhamad Nasrullah Norisham, 19, pula berkata dia dan dua lagi rakannya hampir lemas ketika mandi kira-kira 10 meter dari Norafiqah dan Norfarahani.   

"(Bagaimanapun) Kami (bertiga) bersyukur kerana terselamat apabila sempat berenang ke tepi walaupun dalam keadaan yang tidak bermaya," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Wan Baijuri Wan Hassan berkata 12 anggota bomba termasuk unit skuba dari Kota Baharu berkejar ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada 4.17 petang.

Katanya turut membantu gerakan mencari ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, polis, Rela dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.


Beliau berkata gerakan mencari akan diteruskan sehingga malam ini di kawasan persisiran pantai tersebut. - Bernama

Khamis, Januari 16, 2014

AGM PEMANCAR TERENGGANU 2014


Angin Kencang, Laut Bergelora Berterusan Sehingga Isnin


KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Angin kencang dan laut bergelora tahap kategori ketiga yang melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, kawasan pedalaman Pantai Barat dan Kudat di Sabah, Labuan dan Sarawak dijangka berterusan sehingga Isnin depan.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia Khamis, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kilometer sejam (km/jam) dan ombak melebihi 5.5 meter itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk perkhidmatan feri.

"Selain daripada itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut," menurut kenyataan itu.

Angin kencang dan laut bergelora kategori kedua yang melanda perairan Sandakan di Sabah juga akan berterusan sehingga Isnin depan dengan keadaan angin kencang yang bertiup antara 50 hingga 60 km/jam serta ombak setinggi 4.5m.

Keadaan ini juga berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut.


Angin kencang dan laut bergelora tahap kategori pertama juga akan berterusan sehingga Isnin di kawasan perairan Tawau, Semporna dan Lahad Datu di Sabah dengan kelajuan angin 40 dan 50 km/jam serta ombak mencapai ketinggian 3.5m.

Selasa, Januari 14, 2014

Jumlah Mangsa Banjir Di Jajahan Pasir Mas Meningkat

KOTA BARU: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di jajahan Pasir Mas meningkat pagi Selasa kepada 2,593 orang berbanding 1,684 malam Isnin.
Menurut portal e-Banjir, mangsa banjir daripada 1,065 keluarga itu ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara di sekitar Rantau Panjang.
Setakat 8 pagi ini, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang turun kepada 10.17 meter berbanding 10.31 meter malam Isnin, namun masih di atas paras bahaya 9 meter.
Jalan yang masih ditutup kepada kenderaan ringan ialah jalan alternatif Rantau Panjang ke Jeli di Panglima Bayu, Jalan Pasir Mas-Pohon Tanjung-Rantau Panjang di Km11, dan Km3 Jalan Pengkalan Rakit.
Cuaca dilaporkan cerah dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - BERNAMA

Ahad, Januari 12, 2014

Tiga sekeluarga terselamat, rumah dihanyut arus deras Sungai Golok

Gambar hiasan
TANAH MERAH 12 Jan. - Tiga sekeluarga hampir maut apabila rumah mereka di Kampung Renat, Bukit Bunga di sini dihanyut arus deras Sungai Golok di Jenob ketika kawasan itu mula dilanda banjir semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, Yaakub Abdullah, 64, anak perempuannya, Huwainun (orang kurang upaya), 20, dan anak lelaki, Mohd Azwan, 18, berjaya menyelamatkan diri menggunakan perahu.

Yaakub berkata beliau menyedari keadaan bahaya itu apabila rumah papan yang didiami bersama isteri dan tiga anak mereka dirasakan seolah-olah menggelongsor mengikut arus Sungai Golok, kira-kira tiga meter dari kediaman mereka.

"Ketika kejadian, saya berada di rumah bersama dua anak untuk menyelamatkan pelbagai barangan manakala isteri dan seorang lagi anak kami telah ke pusat pemindahan banjir kira-kira satu kilometer dari rumah kami.

"Bagaimanapun, hujan sejak 4 pagi semalam menyebabkan air naik dengan mendadak dan arus sungai bertambah deras sehingga menyebabkan rumah saya hanyut," katanya kepada pemberita di tempat kejadian hari ini.

"Menyedari rumah saya mula dihanyutkan, saya memanggil kedua-dua anak dan menyelamatkan diri menggunakan perahu yang ditambat berdekatan rumah.
"Saya bersyukur kerana cepat bertindak menyelamatkan diri dan pergerakan rumah dihalang beberapa pokok. Jika tidak, mungkin kami telah dihanyutkan ke Sungai Golok," katanya.

Yaakub, seorang penoreh getah, juga berkata sejak menetap di kampung berkenaan kira-kira 16 tahun lepas, beliau sering berdepan situasi banjir kerana tinggal di kawasan rendah dan berdekatan sungai.

"Namun inilah kali pertama saya berdepan kejadian rumah dihanyutkan arus sungai yang deras," katanya.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, yang meninjau keadaan banjir sekitar Tanah Merah hari ini, turut menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada Yaakub. - BERNAMA

Sabtu, Januari 04, 2014

Angin kencang, laut bergelora berterusan sehingga Isnin

KUALA LUMPUR - Angin kencang dan laut bergelora yang kini melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur, Koh Samui di Thailand, Tioman dan Bunguran di Indonesia, dijangka berterusan sehingga Isnin depan.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan di sini berkata, angin kencang Timur Laut berkelajuan dari 40 kilometer sejam (km/j) dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter itu berbahaya kepada bot-bot kecil serta aktiviti rekreasi dan sukan laut.
Selain itu, angin kencang yang bertiup dari 50km/j serta ombak setinggi 4.5 meter yang melanda kawasan perairan Condore & Reef North dijangka berterusan sehingga Jumaat depan.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak, menurut kenyataan itu.
Sementara itu, ribut petir yang berlaku di kawasan perairan Perak, Pahang, Miri, Wilayah Persekutuan Labuan dan pantai barat Sabah dijangka berterusan sehingga lewat petang ini.
Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil. - Bernama

Gagasan sokong kerajaan negeri adakan program T-English

KUALA TERENGGANU - Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) negeri Terengganu meminta masyarakat melihat program T-English anjuran kerajaan negeri daripada sudut yang lebih positif demi masa depan generasi akan datang.
Setiausahanya, Syed Anuar Syed Mohamd berkata, pihaknya berharap tiada unsur-unsur negatif dihamburkan oleh masyarakat terhadap program tersebut yang melihat seolah-olah kerajaan hendak menginggeriskan masyarakat.
Isnin lepas, kerajaan Terengganu mengumumkan akan melancarkan program tersebut iaitu program yang memberi fokus menguasai Bahasa Inggeris (BI) dalam kalangan pelajar tingkatan tiga dan empat di negeri itu.
Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM3.3 juta untuk program itu yang dijangka bermula di 32 sekolah iaitu satu sekolah di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
Syed Anuar berkata, pihaknya yakin program itu mampu melonjakkan penguasaan BI dalam kalangan pelajar khususnya pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 yang telah disyaratkan wajib lulus subjek BI.
"Gagasan berpendapat langkah proaktif itu akan mempertingkatkan keyakinan pelajar agar mereka tidak akan melihat subjek BI sebagai subjek yang menggerunkan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. - Bernama

Khamis, Januari 02, 2014

Amaran laut bergelora di pantai timur

KUALA LUMPUR: Angin kencang dan laut bergelora yang kini melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur dijangka berterusan sehingga Jumaat ini.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, keadaan angin dengan kelajuan 60 km sejam dan ombak melebihi 5.5 meter itu boleh menyebabkan kenaikan paras air laut, serta berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pelantar minyak. Kenyataan itu juga menyebut keadaan angin kencang dan laut bergelora kategori kedua melanda perairan Sabah meliputi kawasan pedalaman, pantai barat dan Kudat serta Labuan dan Sarawak. 
Keadaan angin kencang yang bertiup antara 50 dan 60 km/jam serta ombak setinggi 4.5 meter itu dijangka berterusan sehingga Jumaat ini, kata kenyataan tersebut.

Keadaan ini juga berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan. - Bernama

Rabu, Januari 01, 2014

Kutub menyongsang pada 2015?

Kutub menyongsang pada 2015?

KEBANYAKAN media sosial dan blogger kini sibuk memperkatakan fenomena pelik yang berlaku di seluruh dunia dan didakwa sebagai tanda awal kiamat.

Negara beriklim tropika dan panas mula menerima kesan akibat perubahan cuaca mendadak pada tahun ini dan sebahagian kawasan seperti Mesir serta Vietnam turut dilitupi salji tebal.

Perubahan magnet pada kerak bumi menyebabkan Kutub Utara bergerak dengan lebih cepat ke arah Siberia untuk berada pada kedudukan 40 darjah.

Beberapa kajian mendapati pergerakan itu berlaku semakin laju iaitu pada jarak 42 km sebulan dan dianggarkan berganjak sebanyak 2 km sehari pada 2013.

Ia merentasi garisan Khatulistiwa untuk berada pada kedudukan 40 darjah di selatan.

Jika keadaan itu berlaku, seluruh permukaan bumi berkemungkinan akan berubah seperti dipaparkan dalam filem sains fiksyen berjudul '2012'.

Paling memeranjatkan, kawasan Amerika Selatan terutamanya Brazil didakwa akan menjadi Kutub Utara manakala India menjadi Kutub Selatan.

Bagaimana dengan nasib Malaysia? Ia dikatakan akan membeku dan berada sebaris dengan India, sekali gus meletakkan garisan Khatulistiwa berada di Antartika.

Bandar pesisir pantai bakal tenggelam dan Australia Barat dipercayai turut mengalami nasib sama serta setengah negara mengalami waktu siang atau malam lebih panjang.

Fenomena medan kutub bumi menyongsang dikhuatiri mengakibatkan bencana alam lebih dahsyat seperti taufan, gempa bumi dan letusan gunung berapi.

Selain itu, ia juga akan memberi kesan besar kepada ekosistem dan migrasi haiwan yang selama ini bergantung kepada perubahan musim dan iklim di sesuatu kawasan.

Medan magnet bumi juga akan menjadi lemah dan terdedah kepada fenomena ribut suria serta sinaran kosmik iaitu partikel bertenaga tinggi dan gelombang elektromagnet dari angkasa lepas.

Pergerakan kutub memang sedang berlaku dan ia boleh dilihat menerusi kejadian bencana alam yang didakwa berpunca daripada pemanasan global dan perubahan iklim secara mendadak sejak akhir-akhir ini.

Pelbagai teori didedahkan menyebabkan saintis menganggarkan medan magnet akan menyongsang dalam tempoh dua tahun lagi berdasarkan pergerakan kutub yang semakin laju.

Adakah keadaan itu akan berlaku atau ia hanya sebuah lagi spekulasi seperti ramalan kiamat 2012 yang digembar-gemburkan pada tahun lalu?

Kiamat menurut Islam

Beberapa hadis dan ayat al-Quran ada menjelaskan persoalan mengenai hari kiamat:

Ibnu Umar RA berkata, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, lima kunci perkara ghaib, tidak mengetahuinya melainkan ALLAH iaitu:

1) Tiada mengetahui apa tersimpan di dalam rahim (kandungan perempuan) melainkan ALLAH.

2) Tiada siapa mengetahui apa akan terjadi esok hari melainkan ALLAH.

3) Tiada seorang pun mengetahui bila waktunya hujan akan turun melainkan ALLAH.

4) Tiada seorang pun mengetahui di negeri mana dia akan mati melainkan ALLAH.

5) Tiada yang mengetahui bila kiamat akan terjadi melainkan ALLAH.  (Hadis Riwayat Bukhari)

Adakah fenomena pelik melibatkan perubahan ekstrem cuaca dunia dan bencana alam dahsyat adalah satu peringatan atau petanda kepada manusia di akhir zaman?

Abu Hurairah berkata, Rasulullah bersabda, ‘Tidak akan tiba hari kiamat sehingga ilmu pengetahuan (agama) dilenyapkan, banyak gempa bumi, masa saling berdekatan (semakin singkat), banyak timbul fitnah, banyak huru-hara iaitu pembunuhan, hingga harta benda melimpah ruah di antara kamu.'

(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Sebagai orang Islam, kita wajib percaya bahawa hari kiamat merupakan Rukun Iman ke- 5 akan tiba seperti diterangkan dalam al-Quran.

ALLAH SWT berfirman :

Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: “Bilakah terjadinya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba.” Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang bari kiamat itu adalah di sisi ALLAH, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

(Surah Al-A’raf, Ayat 187)

Dan juga pada ayat:


Manusia bertanya kepadamu tentang hari berbangkit. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang hari berbangkit itu hanya di sisi ALLAH.” Dan tahukah kamu (Muhammad), boleh jadi hari berbangkit itu sudah dekat waktunya. (Surah Al-Ahzab, Ayat 63)

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2014

Selasa, Disember 31, 2013

Berkhidmat bukan kerana duit

Berkhidmat bukan kerana duit

KUALA NERUS - Mereka berkhidmat tanpa sebarang ganjaran, malah ada ketikanya terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk memastikan bakti kepada masyarakat tetap berterusan.

Itulah sumbangan dan usaha murni dilakukan pasukan bomba sukarela dari Balai Bomba Sri Nerus, yang mana matlamat mereka hanya satu, iaitu berbakti kepada masyarakat dengan sebaiknya.

Namun, masih ramai tidak menyedari sumbangan besar pasukan terbabit yang sudah lebih tiga tahun ditubuhkan, khususnya melibatkan kes kebakaran, kemalangan dan sebagainya.

Lebih membanggakan, pasukan yang dianggotai 50 ahli itu kekal dengan komitmen dan khidmat terbaik, meskipun kerja yang dilakukan mereka tidak bergaji.

Peralatan serba kekurangan

Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Balai Sri Nerus, Mohd Ariff Tengah berkata, walaupun bergerak dalam kelengkapan serba kekurangan, ia tidak menjadi penghalang buat pasukannya memberikan khidmat terbaik seiring dengan tujuan asal penubuhan pasukan tersebut.

“Balai yang mula didiami sepenuhnya kira-kira enam bulan lalu ini secara jujurnya serba kekurangan, di mana bukan sahaja ruang terhad, malah peralatan juga belum mencukupi.

“Namun, ia bukanlah satu masalah besar buat kami selaku pasukan sukarela yang mana matlamatnya adalah untuk menjadikan pasukan terawal tiba di tempat kejadian memandangkan kedudukan balai bomba jauh di Kuala Terengganu,” katanya.

Mohd Ariff mengakui ada kalanya terpaksa menggunakan pelbagai alternatif untuk mencari sumbangan bagi merancakkan lagi usaha menabur bakti kepada masyarakat sekeliling.

Namun dalam masa sama beliau bersyukur kerana kesemua ahli pasukan sanggup berkorban dengan sama-sama menanggung kos bagi setiap operasi yang dilalui.

“Selain memperoleh bangunan bernilai kira-kira RM150,000 daripada peruntukan kerajaan Pusat, pasukan kami juga turut dibekalkan sebuah pacuan empat roda untuk melancarkan lagi operasi bantuan.

“Namun, kenderaan yang digunakan itu lebih tertumpu untuk membawa peralatan menyelamat, manakala ahli yang terlibat dalam operasi akan menggunakan kenderaan sendiri untuk pergi ke lokasi,” katanya.


Sebab itu katanya, komitmen dan semangat juang tinggi sangat dituntut bagi mereka yang ingin terlibat dalam aktiviti sukarelawan.

KLIK DISINI untuk berita selanjutnya

Isnin, Disember 30, 2013

Amaran ribut petir di beberapa perairan negara

Jabatan Meteorologi Malaysia

KUALA LUMPUR - Ribut petir yang berlaku di kawasan perairan Sarawak, Labuan dan Pantai Barat Sabah dijangka berterusan sehingga sebelum subuh esok.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter.

Ribut petir juga berlaku di kawasan perairan Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor barat, yang menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter, dijangka berterusan sehingga sebelum subuh esok.

Keadaan ini juga berlaku di kawasan perairan Reef North, Bunguran, Layang-Layang dan Palawan yang menyebabkan angin kencang melebihi 60 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 5.5 meter, yang juga dijangka berterusan sehingga sebelum subuh esok.

Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk menangkap ikan, pekerja di pelantar minyak serta perkhidmatan feri. – Bernama


 

Sabtu, Disember 28, 2013

633 laporan polis bantah himpunan haram 31 Disember


KUALA LUMPUR 27 Dis. - Bantahan serta kemarahan orang ramai terhadap perhimpunan haram pada 31 Disember ini terus memuncak setelah pelbagai pihak di seluruh negara tampil membuat laporan polis dengan jumlah terkini sebanyak 633 laporan diterima setakat ini.

Jumlah itu termasuk lebih 200 laporan yang dibuat di seluruh negara hari ini.
Antara yang membuat laporan hari ini ialah Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia (PSSGM), Datuk Adiwijaya Abdullah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini.

Adiwijaya yang ditemui pemberita selepas membuat laporan berkata, penganjur serta dalang yang cuba melakukan perhimpunan haram ini sebenarnya adalah mereka yang terdesak dan sengaja mengambil kesempatan atas sambutan tahun baharu.

"Mereka hanya mengambil kesempatan pada malam itu bagi meraih sokongan orang ramai dan perkara itu akan menimbulkan ketakutan kepada orang awam yang ingin menyertai sambutan tahun baharu," katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Jumaat, Disember 27, 2013

SKMM Diminta Kemuka Sistem Komunikasi Baharu Ketika Kecemasan



KUANTAN: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyediakan satu sistem komunikasi baharu untuk dilaksana ketika kecemasan.
Beliau berkata ini kerana banjir buruk yang melanda Kuantan dan Kemaman sehingga melumpuhkan sistem komunikasi berikutan pencawang elektrik ditengelami air, merupakan satu pengajaran besar kepada negara.
"Saya saya meminta SKMM untuk membina suatu 'architecture' baharu, sistem komunikasi di waktu kecemasan, sekiranya berlaku perang, berlaku letupan bom di janakuasa elektrik, apa terjadi (dengan sistem komunikasi kita)? Atau berlaku banjir besar misalnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis 'Sentuhan Kasih' di Cherating, malam Rabu.
Beliau berkata sistem komunikasi ketika ini yang bergantung kepada tenaga elektrik, merupakan satu kekangan apabila bekalan elektrik terputus seperti yang berlaku ketika banjir buruk di Kuantan dan Kemaman awal bulan ini.
Ahmad Shabery berkata beliau telah membangkitkan perkara itu di kabinet, dan percaya kerajaan akan mengambil kira semua cadangan dalam usaha memperkemaskan sistem komunikasi negara ketika menghadapi bencana.
"Jaringan integrasi kerajaan sekarang ini mesti dilihat dari segi rangkaian, penggunaan radio amatur, penggunaan walkie-talkie yang berkuasa tinggi, senang daripada menggunakan telefon mudah alih, yang dibekalkan kepada kumpulan tertentu dalam kerja menyelamat, selain itu mungkin juga kita boleh gunakan telefon satelit," katanya.
Ahmad Shabery berkata selain itu usaha bersepadu dalam menyalurkan maklumat juga perlu diperkemaskan membabitkan semua jabatan berkaitan termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia dan agensi-agensi lain seperti pasukan keselamatan.
Majlis Sentuhan Kasih itu bertujuan mengumpul dana untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di Kemaman dan Kuantan. - BERNAMA

Rabu, Disember 25, 2013

Amaran gelombang kedua banjir di Pahang

KUANTAN: Jabatan Meteorologi Pahang hari ini memberi amaran kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir di Pahang bermula 30 Dis.
Menurut Pengarah Jabatan Meteorologi Pahang Azemi Daud, taburan hujan lebat diramalkan berlaku bermula 30 Dis hingga 6 Jan tahun depan terutama di tiga daerah - Kuantan, Pekan dan Rompin. 
"Dalam tempoh yang sama juga air pasang turut akan berlaku, manakala kelajuan angin diramalkan 50 hingga 60 kilometer sejam," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat persiapan banjir untuk gelombang kedua di sini, hari ini. 

Turut hadir dalam sesi taklimat banjir itu ialah Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Azemi berkata, mengikut ramalan awal, taburan hujan lebat berlaku dalam empat peringkat iaitu pertama pada 2 Dis hingga 6 Dis lepas, yang mengakibatkan banjir buruk di Pahang.

"Sesi kedua diramalkan berlaku pada 18 Dis hingga 22 Dis lepas, bagaimanapun ia tidak berlaku. 

"Jadi, peringkat kedua itu diramalkan berlaku pada 30 Dis hingga 6 Jan tahun depan, dan akan disusuli dengan dua lagi peringkat yang dijangka berlaku sebelum awal Mac," katanya. 

Banjir buruk di Pahang baru-baru ini mengakibatkan lebih 40,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir. 

Sebanyak sembilan daerah terbabit banjir iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Jerantut, Temerloh, Raub, Bera, Lipis dan Maran. 

Berdasarkan laporan sebelum ini, lebih RM65 juta kerugian harta benda akibat banjir itu, dan turut mengorbankan tiga nyawa akibat lemas. - Bernama

Selasa, Disember 24, 2013

Perkahwinan antara Sunah dan Syiah haram - JAIS


SHAH ALAM 24 Dis. - Perkahwinan antara pengikut Sunnah dan Syiah adalah haram kerana ajaran Syiah di negara ini telah difatwakan sebagai bertentangan dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ahmad Zaki Arsad berkata, perkahwinan itu dilarang kerana ajaran Syiah jauh berbeza dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Selangor telah mengeluarkan fatwa pengharaman Syiah pada 14 Februari 1998.

Beliau berkata, pengharaman itu selari dengan keputusan yang dibuat oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 5 Mei 1996 yang menetapkan umat Islam di negara ini harus mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Menurutnya, perkahwinan antara Sunnah dan Syiah sangat bahaya kerana boleh merosakkan akidah, cara hidup dan keturunan selain menimbulkan masalah pembahagian harta pusaka.

"Oleh sebab itu, umat Islam di negara ini perlu diberikan penjelasan tentang bahaya Syiah kerana implikasi daripada penyebaran ajaran itu boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

"Kita boleh mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di negara lain seperti di Syria atau Pakistan bahawa permusuhan, persengketaan dan pertumpahan darah adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan jika fahaman Syiah dibiarkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri menghadiri Muzakarah Pakar Isu Perkahwinan Syiah dan Sunni Peringkat Negeri Selangor di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Isnin, Disember 23, 2013

Parti politik perlu bersatu perangi mat rempit


KADAR jenayah melibatkan mat rempit dan kes ragut semakin berleluasa dan tidak menunjukkan tanda-tanda pengurangan. Rasanya tidak keterlaluan untuk mengatakan, kebanyakan penduduk tidak lagi merasa selamat di tanah air sendiri.

Ketua Polis Negara baru-baru ini menyatakan, sukar untuk anggotanya berada di semua tempat pada satu-satu masa dan meminta kerjasama masyarakat.

Dalam konteks ini, pertubuhan yang mempunyai kekuatan daripada segi bilangan ahli dan populariti merupakan landasan paling tepat sebagai penggerak untuk menjana sokongan masyarakat.

Paling penting juga untuk parti-parti politik, baik daripada pihak pemerintah atau pembangkang, tampil ke hadapan menyahut seruan pihak polis tersebut.

Sudah tiba masanya untuk parti-parti politik mula mengambil langkah proaktif dan mengadakan program-program yang lebih berunsur kemasyarakatan.

Parti pemerintah dan pembangkang harus berganding bahu kerana masalah ini merupakan masalah nasional yang tidak mengenal mangsa, sama ada penyokong Barisan Nasional, Parti Keadilan Rakyat, DAP ataupun Pas.

Parti-parti ini mempunyai kekuatan daripada segi sumber manusia dan material. Jika digembleng segala aset, sudah tentu program yang diadakan akan sampai ke segenap lapisan masyarakat. Sekali gus ia dapat mencapai sasaran yang lebih besar.

Apa salahnya jika mengadakan program bersama. Sepakat mengisytiharkan perang terhadap jenayah.

Adakah haram di sisi Islam atau agama lain untuk bersama menziarahi keluarga mangsa dan menubuhkan tabung bantuan? Adakah melanggar etika parti jika menubuhkan satu pasukan peronda khas yang dianggotai ahli-ahli semua parti - pembangkang atau kerajaan - untuk bersama-sama dengan pihak polis demi menjaga keamanan masyarakat?

Berapa ramai lagi yang perlu menjadi korban sehingga cadangan tersebut mendapat perhatian?

Perebutan kuasa serta pilihan raya kecil telah terlalu banyak 'meragut' perhatian pemimpin-pemimpin kita . Terlalu banyak masa dibazirkan semata-mata untuk mendapatkan sokongan dan menanam kebencian terhadap pihak lain.Akhirnya masalah jenayah turut dipolitikkan.

Kini sudah tiba masanya untuk berhenti daripada menuding jari dan mempertikaikan punca gejala tersebut.

Rakyat Malaysia tidak mahu mendengar siapa yang perlu dipersalahkan. Kita ingin melihat perkara ini diselesaikan segera.

Oleh DR. FAIZAL TAJUDIN

Ahad, Disember 22, 2013

Terkini: Sekurang-kurangnya tiga letupan gegar daerah Sadao dekat sempadan Malaysia

Foto
Sadao (Thailand): Dua rakyat Malaysia antara 24 mangsa yang dilapor cedera dalam kejadian letupan di Dannok, Thailand, kata Konsul Besar Malaysia di Songkhla


Padang Basa (Thailand): Sekurang-kurangnya tiga letupan dilapor menggegarkan daerah Sadao pagi tadi, dipercayai berpunca daripada bom buatan sendiri. 

Sumber Polis Diraja Thailand, ketika dihubungi mengesahkan ketiga-tiga bom yang masing-masing disorokkan ke dalam sebuah motosikal diletupkan hampir serentak kira-kira jam 11.30 pagi.



Padang Basa (Thailand): Sekurang-kurangnya tiga letupan dilapor menggegarkan daerah Sadao pagi tadi, dipercayai berpunca daripada bom buatan sendiri. 

Sumber Polis Diraja Thailand, ketika dihubungi mengesahkan ketiga-tiga bom yang masing-masing disorokkan ke dalam sebuah motosikal diletupkan hampir serentak kira-kira jam 11.30 pagi.

Jumaat, Disember 20, 2013

Video Penggodam Touch n' Go Guna Telefon Pintar

PETALING JAYA: Rakaman video yang memaparkan aksi seorang individu menggunakan telefon bimbitnya untuk menggodam mesin pengimbas Touch n' Go di sini, tersebar meluas di laman sosial Facebook, sejak awal minggu ini.
Pada Isnin, seorang pengguna Facebook memuat naik rakaman video berdurasi 45 saat menunjukkan aksi yang berlaku dalam sebuah kereta di lebuh raya yang tidak diketahui.
Posting berkenaan menerangkan bagaimana tindakan seorang penggodam menggunakan telefon pintarnya untuk melangkaui sistem debit sekaligus menyebabkan palang pagar di plaza tol terus terbuka.
Klip video berkenaan memaparkan aksi pemandu kereta itu menggunakan telefon pintarnya sebagai aplikasi di kaunter Touch n' Go sebaik sahaja dia tiba di plaza tol.
Individu berkenaan dilihat menggunakan telefon pintarnya sebagai alat untuk menggodam mesin pengimbas Touch n' Go di plaza tol tersebut.
Sebaik sahaja keretanya menghampiri, plaza tol, pemandu berkenaan melekapkan telefonnya di kaunter pengimbas Touch n' Go.
Pegimbas berkenaan kemudiannya mengeluarkan bunyi bip, dan pemandu berkenaan kemudiannya berlalu pergi sebaik sahaja palang tol berkenaan dinaikkan.
Dalam respon segera, wakil Touch n' Go berkata syarikatnya telah menyedari kewujudan video berkenaan sejak 18 Disember lalu.
"Buat masa ini, Touch n' Go sedang menjalankan siasatan menyeluruh dalam isu berkenaan," kata wakil tersebut.