Selasa, Februari 19, 2013

Ceroboh Lahad Datu: Kerajaan Tidak Kompromi Hak Dan Keselamatan Rakyat Sabah


KOTA KINABALU: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan hak dan keselamatan rakyat negeri ini dalam menyelesaikan secara baik insiden pencerobohan warga Filipina di perairan Lahad Datu, bahagian pantai timur Sabah.
Beliau juga mengesahkan bahawa kumpulan terbabit bukan merupakan kumpulan militan atau pengganas, tetapi " oleh kerana mereka juga memegang senjata maka adalah penting apa juga tindakan yang diambil, ia tidak menjurus sehingga berlaku pertumpahan darah.
"Saya tengok kawalan di situ berada pada tahap yang membanggakan dan dalam proses kita untuk mengusir mereka ini, ia juga membantu keadaan.
"Yang penting sekarang banyak betul spekulasi dan khabar-khabar angin dan saya tahu maklumat yang sebenarnya dan saya mengesahkan sebahagian besar yang digembar-gemburkan di luar sana merupakan perkara yang tidak asas langsung," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, dekat sini, Isnin.
Oleh itu, Hishammuddin mengingatkan orang ramai supaya tidak melihat insiden itu sebagai sesuatu yang boleh dipolemikkan atau dipolitikkan.
"Saya harap kita sabar kerana dari segi operasi, pihak berkuasa diberi mandat untuk memantau tetapi dari segi pendirian...itu amanah dan tanggungjawab kerajaan negeri dan kerajaan pusat," katanya sambil menambah bahawa beliau akan pergi ke Lahad Datu esok untuk melihat keadaan di sana.
Beliau berkata kerajaan akan memastikan operasi yang dirancang itu berjalan lancar dan tidak ada insiden yang tidak diingini terutama yang melibatkan pertumpahan darah.Hishammuddin berkata kerajaan Malaysia bekerja rapat dengan kerajaan Filipina dalam menangani insiden itu.
Mengenai permintaan kumpulan penceroboh dari selatan Filipina itu untuk berjumpa personaliti tertentu, beliau tidak memberi butiran lanjut tetapi berkata rundingan masih dijalankan.
"Saya ingin menegaskan bahawa ia (insiden) bukan isu suku kaum dan ia tidak kena mengena dengan pendirian atau kedaulatan dan sebagainya.
"Tetapi dalam konteks kita, ini adalah bumi kita...ini adalah sesuatu yang menjejaskan keselamatan negara dan inilah yang kita tangani dengan bijaksana dengan cara tidak ada mana-mana nyawa terkorban atau tumpah darah di bumi kita," katanya.
Ditanya perkembangan terkini rundingan dengan kumpulan warga Filipina itu, Hishammuddin berkata rundingan setakat ini menunjukkan betapa profesionalnya pasukan keselamatan negara.
"Kalau kita ambil tindakan, dari hari pertama sudah kita ambil tindakan namun dalam keadaan begini kita tidak mahu ada nyawa yang terkorban "walau apa jua sebabnya" di pihak mereka yang akan memberi kesan kepada kita.
"Sama ada insiden itu selesai dalam masa terdekat atau lama lagi, kita bergantung sangat kepada pihak-pihak (tentera, polis) yang lebih mahir dalam operasi ini," katanya.
Ditanya sama ada terdapat masa tertentu untuk menyelesaikan kes itu, Hishammuddin berkata tidak ada pihak yang boleh mengesahkannya buat masa ini.
Mengenai kritikan pihak pembangkang yang mempersoal tindakan kerajaan menangani isu pencerobohan itu, beliau berkata mereka berhak berbuat demikian namun pemimpin pembangkang tidak pernah menghargai apa juga perkara baik yang dilakukan kerajaan.
Mengulas penyebaran insiden pencerobohan itu di "Youtube", beliau berharap rakyat tidak terikut-ikut dengan perkara itu dan menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyebarkan khabar angin khususnya yang boleh memudaratkan keselamatan.
Hishammuddin berkata tahap kawalan keselamatan di pusat peranginan atau pelancongan terutama di pantai timur Sabah juga dipertingkatkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan