Hotel tujuh tingkat milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang bernilai RM37.4 juta, dijangka siap pada bulan Oktober ini dan mula digunakan seawal tahun depan.
Apabila beroperasi kelak, hotel tersebut mampu menampung masalah kekurangan bilik hotel di negeri ini, terutama ketika musim cuti sekolah dan cuti panjang pelbagai perayaan, termasuk Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Krismas.
Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman, berkata hotel yang belum diberi nama itu mula dibina pada bulan Mei 2010 bagi menampung masalah kekurangan bilik hotel di bandar Kuala Terengganu.
Pada waktu tertentu, khususnya cuti sekolah di mana Kuala Terengganu dibanjiri pelancong, bilik hotel penuh sesak dan kebanyakan mereka sukar mendapatkan tempat penginapan sekitar bandar Kuala Terengganu.
Hotel yang mengandungi 180 bilik itu terletak di pusat bandar, berhampiran dengan Masjid Abidin yang juga dikenali sebagai “Masjid Putih”. Masjid Putih juga merupakam salah satu bangunan lama yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
Wan Harujan berkata, pihaknya yakin hotel tersebut bakal mendapat sambutan kerana ia terletak di kawasan strategik dan dikelilingi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat makan, Pasar Besar Kedai Payang dan tempat ibadat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan