Rakyat Malaysia mempunyai sebelas hari lagi untuk membayar saman tertunggak dan menikmati kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan berhubung kesalahan lalu lintas kerana tempoh itu tidak akan disambung, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah Mat Hassan.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang masih memiliki saman tertunggak untuk membuat bayaran di pejabat pos atau secara online melalui Portal MyEG.
"Tempoh dah nak habis. Tempoh ini tidak akan disambung. Sekarang ada 11 hari lagi. Jangan bayar pada saat-saat akhir,” katanya kepada media selepas memberi penjelasan lanjut berhubung kadar baru kompaun bagi kesalahan lalu lintas yang akan berkuat kuasa 1 Mac ini.
Sebelum ini, kerajaan pada Ogos tahun lepas mengambil keputusan bagi menangguhkan sementara sekatan urusniaga (senarai hitam) bagi pembaharuan Lesen Kenderaan Motor dan Lesen Memandu sehingga 28 Februari ini.
Solah berkata, kerajaan telah memberi kelonggaran selama enam bulan untuk orang ramai menyelesaikan saman tertunggak, termasuk saman ekor dan dalam tempoh itu, tindakan menyenarai hitam pesalah ditangguhkan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan