Rabu, Disember 25, 2013

Amaran gelombang kedua banjir di Pahang

KUANTAN: Jabatan Meteorologi Pahang hari ini memberi amaran kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir di Pahang bermula 30 Dis.
Menurut Pengarah Jabatan Meteorologi Pahang Azemi Daud, taburan hujan lebat diramalkan berlaku bermula 30 Dis hingga 6 Jan tahun depan terutama di tiga daerah - Kuantan, Pekan dan Rompin. 
"Dalam tempoh yang sama juga air pasang turut akan berlaku, manakala kelajuan angin diramalkan 50 hingga 60 kilometer sejam," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat persiapan banjir untuk gelombang kedua di sini, hari ini. 

Turut hadir dalam sesi taklimat banjir itu ialah Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Azemi berkata, mengikut ramalan awal, taburan hujan lebat berlaku dalam empat peringkat iaitu pertama pada 2 Dis hingga 6 Dis lepas, yang mengakibatkan banjir buruk di Pahang.

"Sesi kedua diramalkan berlaku pada 18 Dis hingga 22 Dis lepas, bagaimanapun ia tidak berlaku. 

"Jadi, peringkat kedua itu diramalkan berlaku pada 30 Dis hingga 6 Jan tahun depan, dan akan disusuli dengan dua lagi peringkat yang dijangka berlaku sebelum awal Mac," katanya. 

Banjir buruk di Pahang baru-baru ini mengakibatkan lebih 40,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir. 

Sebanyak sembilan daerah terbabit banjir iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Jerantut, Temerloh, Raub, Bera, Lipis dan Maran. 

Berdasarkan laporan sebelum ini, lebih RM65 juta kerugian harta benda akibat banjir itu, dan turut mengorbankan tiga nyawa akibat lemas. - Bernama

Selasa, Disember 24, 2013

Perkahwinan antara Sunah dan Syiah haram - JAIS


SHAH ALAM 24 Dis. - Perkahwinan antara pengikut Sunnah dan Syiah adalah haram kerana ajaran Syiah di negara ini telah difatwakan sebagai bertentangan dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ahmad Zaki Arsad berkata, perkahwinan itu dilarang kerana ajaran Syiah jauh berbeza dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Selangor telah mengeluarkan fatwa pengharaman Syiah pada 14 Februari 1998.

Beliau berkata, pengharaman itu selari dengan keputusan yang dibuat oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 5 Mei 1996 yang menetapkan umat Islam di negara ini harus mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Menurutnya, perkahwinan antara Sunnah dan Syiah sangat bahaya kerana boleh merosakkan akidah, cara hidup dan keturunan selain menimbulkan masalah pembahagian harta pusaka.

"Oleh sebab itu, umat Islam di negara ini perlu diberikan penjelasan tentang bahaya Syiah kerana implikasi daripada penyebaran ajaran itu boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

"Kita boleh mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di negara lain seperti di Syria atau Pakistan bahawa permusuhan, persengketaan dan pertumpahan darah adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan jika fahaman Syiah dibiarkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri menghadiri Muzakarah Pakar Isu Perkahwinan Syiah dan Sunni Peringkat Negeri Selangor di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Isnin, Disember 23, 2013

Parti politik perlu bersatu perangi mat rempit


KADAR jenayah melibatkan mat rempit dan kes ragut semakin berleluasa dan tidak menunjukkan tanda-tanda pengurangan. Rasanya tidak keterlaluan untuk mengatakan, kebanyakan penduduk tidak lagi merasa selamat di tanah air sendiri.

Ketua Polis Negara baru-baru ini menyatakan, sukar untuk anggotanya berada di semua tempat pada satu-satu masa dan meminta kerjasama masyarakat.

Dalam konteks ini, pertubuhan yang mempunyai kekuatan daripada segi bilangan ahli dan populariti merupakan landasan paling tepat sebagai penggerak untuk menjana sokongan masyarakat.

Paling penting juga untuk parti-parti politik, baik daripada pihak pemerintah atau pembangkang, tampil ke hadapan menyahut seruan pihak polis tersebut.

Sudah tiba masanya untuk parti-parti politik mula mengambil langkah proaktif dan mengadakan program-program yang lebih berunsur kemasyarakatan.

Parti pemerintah dan pembangkang harus berganding bahu kerana masalah ini merupakan masalah nasional yang tidak mengenal mangsa, sama ada penyokong Barisan Nasional, Parti Keadilan Rakyat, DAP ataupun Pas.

Parti-parti ini mempunyai kekuatan daripada segi sumber manusia dan material. Jika digembleng segala aset, sudah tentu program yang diadakan akan sampai ke segenap lapisan masyarakat. Sekali gus ia dapat mencapai sasaran yang lebih besar.

Apa salahnya jika mengadakan program bersama. Sepakat mengisytiharkan perang terhadap jenayah.

Adakah haram di sisi Islam atau agama lain untuk bersama menziarahi keluarga mangsa dan menubuhkan tabung bantuan? Adakah melanggar etika parti jika menubuhkan satu pasukan peronda khas yang dianggotai ahli-ahli semua parti - pembangkang atau kerajaan - untuk bersama-sama dengan pihak polis demi menjaga keamanan masyarakat?

Berapa ramai lagi yang perlu menjadi korban sehingga cadangan tersebut mendapat perhatian?

Perebutan kuasa serta pilihan raya kecil telah terlalu banyak 'meragut' perhatian pemimpin-pemimpin kita . Terlalu banyak masa dibazirkan semata-mata untuk mendapatkan sokongan dan menanam kebencian terhadap pihak lain.Akhirnya masalah jenayah turut dipolitikkan.

Kini sudah tiba masanya untuk berhenti daripada menuding jari dan mempertikaikan punca gejala tersebut.

Rakyat Malaysia tidak mahu mendengar siapa yang perlu dipersalahkan. Kita ingin melihat perkara ini diselesaikan segera.

Oleh DR. FAIZAL TAJUDIN

Ahad, Disember 22, 2013

Terkini: Sekurang-kurangnya tiga letupan gegar daerah Sadao dekat sempadan Malaysia

Foto
Sadao (Thailand): Dua rakyat Malaysia antara 24 mangsa yang dilapor cedera dalam kejadian letupan di Dannok, Thailand, kata Konsul Besar Malaysia di Songkhla


Padang Basa (Thailand): Sekurang-kurangnya tiga letupan dilapor menggegarkan daerah Sadao pagi tadi, dipercayai berpunca daripada bom buatan sendiri. 

Sumber Polis Diraja Thailand, ketika dihubungi mengesahkan ketiga-tiga bom yang masing-masing disorokkan ke dalam sebuah motosikal diletupkan hampir serentak kira-kira jam 11.30 pagi.



Padang Basa (Thailand): Sekurang-kurangnya tiga letupan dilapor menggegarkan daerah Sadao pagi tadi, dipercayai berpunca daripada bom buatan sendiri. 

Sumber Polis Diraja Thailand, ketika dihubungi mengesahkan ketiga-tiga bom yang masing-masing disorokkan ke dalam sebuah motosikal diletupkan hampir serentak kira-kira jam 11.30 pagi.

Jumaat, Disember 20, 2013

Video Penggodam Touch n' Go Guna Telefon Pintar

PETALING JAYA: Rakaman video yang memaparkan aksi seorang individu menggunakan telefon bimbitnya untuk menggodam mesin pengimbas Touch n' Go di sini, tersebar meluas di laman sosial Facebook, sejak awal minggu ini.
Pada Isnin, seorang pengguna Facebook memuat naik rakaman video berdurasi 45 saat menunjukkan aksi yang berlaku dalam sebuah kereta di lebuh raya yang tidak diketahui.
Posting berkenaan menerangkan bagaimana tindakan seorang penggodam menggunakan telefon pintarnya untuk melangkaui sistem debit sekaligus menyebabkan palang pagar di plaza tol terus terbuka.
Klip video berkenaan memaparkan aksi pemandu kereta itu menggunakan telefon pintarnya sebagai aplikasi di kaunter Touch n' Go sebaik sahaja dia tiba di plaza tol.
Individu berkenaan dilihat menggunakan telefon pintarnya sebagai alat untuk menggodam mesin pengimbas Touch n' Go di plaza tol tersebut.
Sebaik sahaja keretanya menghampiri, plaza tol, pemandu berkenaan melekapkan telefonnya di kaunter pengimbas Touch n' Go.
Pegimbas berkenaan kemudiannya mengeluarkan bunyi bip, dan pemandu berkenaan kemudiannya berlalu pergi sebaik sahaja palang tol berkenaan dinaikkan.
Dalam respon segera, wakil Touch n' Go berkata syarikatnya telah menyedari kewujudan video berkenaan sejak 18 Disember lalu.
"Buat masa ini, Touch n' Go sedang menjalankan siasatan menyeluruh dalam isu berkenaan," kata wakil tersebut.

Khamis, Disember 19, 2013

1,733 calon di Terengganu dapat semua A dalam PMR

TERENGGANU - Keputusan PMR 2013 mencatatkan rekod terbaik dalam tempoh sembilan tahun setelah 1,733 atau 8.19 peratus daripada 21,159 calon memperoleh A dalam semua mata pelajaran.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Zakaria Hussin berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 175 orang atau 1.04 peratus berbanding tahun lalu sebanyak 1,558 (7.15 peratus).
"Sebanyak 28 buah daripada 138 sekolah di negeri ini berjaya mencatat gred purata sekolah (GPS) cemerlang iaitu 1.00 hingga 1.80 atau prestasi A.
"Empat orang daripada 158 calon berkeperluan khas juga memperoleh keputusan terbaik dengan seorang calon memperoleh 9A, dua calon memperoleh 8A 1B dan seorang calon lagi memperoleh 7A 1D. - Bernama

Rabu, Disember 18, 2013

Pegawai Kanan Penguatkuasa Antara 11 Ditahan Sindiket Dadah RM14 Juta

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Polis percaya dapat menumpaskan sindiket penyeludupan dadah dengan penahanan 11 lelaki termasuk pegawai kanan dan pegawai penguatkuasa serta warga asing dalam beberapa serbuan di ibu negara dan Negeri Sembilan.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata mereka disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah antarabangsa bernilai RM14 juta melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

Beliau berkata dalam serbuan di sekitar Taman Desa, Jalan Klang Lama, Brickfields dan Jalan Pudu di sini, serta Nilai dan Seremban di Negeri Sembilan pada Sabtu lepas dan semalam, polis menahan empat lelaki warga Nigeria, seorang lelaki warga India dan enam lelaki tempatan berumur antara 22 dan 58 tahun.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas dadah syabu seberat 68.68 kg, heroin 9.7 kg, kafein 25.3 kg, sepucuk pistol jenis CZ bersama magazin serta 30 butir peluru, wang tunai RM34,950 dan menyita dua buah kenderaan.

"Amat menyedihkan apabila penguat kuasa ini yang seharusnya membantu dalam membanteras kegiatan dadah sebaliknya memberi bantuan kepada sindiket antarabangsa dalam penyeludupan dadah ke negara ini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman di sini Selasa.

Mohd Bakri berkata polis percaya penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket itu mendapat habuan tertentu dalam melakukan kegiatan itu, namun beliau enggan mengulas lanjut mengenai pegawai kanan dan pegawai penguatkuasa yang ditahan.

"Mereka menggunakan modus operandi keldai dadah yang tiba di KLIA tidak mengambil bagasi mereka tetapi terus keluar dari lapangan terbang dan menginap di hotel berdekatan.

"Kemudian mereka akan menghubungi KLIA bagi menghantarkan bagasi mereka ke hotel untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa mahupun ditangkap bersama bagasi berisi dadah itu," katanya.

Polis percaya sindiket itu bergiat aktif sejak setahun lepas di KLIA.

Beliau berkata warga India itu ditahan reman tiga hari sejak Sabtu lepas manakala 10 yang lain direman tujuh hari mulai semalam.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.