
Banjir merupakan bencana alam yang diberi perhatian oleh sebab ia mengancam kehidupan dan ekonomi penduduk negara ini. Menurut kajian oleh Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), banjir merupakan bencana alam yang ke tiga besar yang telah banyak mengorbankan nyawa dan kerosakan harta benda. Masalah banjir di negara ini yang disebabkan banjir musim tengkujuh dan banjir kilat akan berterusan walaupun pelbagai langkah struktur dan bukan struktur dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengurangkan kesannya. Dengan pertambahan penduduk dan pembangunan yang tertumpu di lembangan dan lurah sungai yang mudah dinaiki air kejadian banjir amat sukar dielakkan. Kekerapan banjir pula meningkat akibat perubahan guna tanah yang mana sistem saliran di kawasan rendah tidak mampu menyalirankan aliran hujan lebat dan sistem saliran yang mengalami pemendapan akibat pembangunan.