Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (Jheat) dijangka melahirkan 1,000 Hafiz dan Hafizah setiap tahun sekiranya Kelas Hazafan al-Quran (KHAQ) di negeri ini diikuti dengan sempurna oleh pelajar.
Pesuruhjaya Jheat, Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail, berkata pihaknya komited melahirkan seramai mungkin Hafiz dan Hafizah di Terengganu kerana pada masa kini masyarakat terutama ibu bapa seakan lupa terhadap tanggungjawab itu.
Katanya, sebagai permulaan, sebanyak sepuluh Sekolah Menengah Agama di negeri ini membabitkan pelajar tingkatan satu dipilih bagi mengikut KHAQ. Mereka perlu menghafaz al-Quran sekurang-kurangnya enam juzuk dalam tempoh setahun.
“Apabila tamat tingkatan lima nanti, mereka sudah mampu menghafaz 30 juzuk dan lancar dengan jenis bacaan fateh, taranum, munabbih dan fasohah.
“Kelas ini diwujudkan di atas desakan ibu bapa yang mahukan anak masing-masing `celik al-Quran’ selain menampung lebihan pelajar yang gagal mengikut program sama di lima Sekolah Menengah Imtiaz,” katanya.