DR. RAIS Yatim menerima buku dari Gabenor Sulawesi Utara, Dr. Sinyo Harry Sarundajang sebagai cenderamata ketika hadir pada Majlis Makan Malam dan Ramah Tamah sempena Hari Media Nasional Indonesia Ke-66 di Hotel Sintesa Peninsula di sini semalam. Turut kelihatan Ketua Dewan Kehormatan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (Iswami) merangkap Ketua Dewan Kehormatan Persatuan Wartawan Indonesia (PWI), Tarman Azzam (kiri). |
MANADO (Indonesia) 8 Feb. - Malaysia dan Indonesia hari ini mencapai persetujuan lisan bagi menghasilkan sebuah rancangan televisyen terbitan bersama badan penyiaran kedua-dua negara bermula Mac depan.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, persetujuan yang dicapai bersama Menteri Penerangan Indonesia, Ir. Tifatul Sembiring itu bertujuan mewujudkan persefahaman budaya dan memantapkan hubungan serumpun kedua-dua negara.
Melalui perbincangan tadi kami memutuskan dan Menteri Penerangan Indonesia juga bersetuju supaya RTM-TVRI menerbitkan sebuah rancangan televisyen mengenai hubungan Malaysia-Indonesia meliputi budaya, bahasa dan pendidikan untuk disiarkan sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan.
Kami sedar, sudah sampai masanya kita memulakan semula program Titian Budaya dan Titian Muhibbah yang dekat dengan masyarakat dan saya percaya program ini akan memberi kekuatan kepada usaha Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (YIRMI) dan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) dalam memperkukuhkan hubungan dua negara," katanya kepada wartawan Malaysia selepas pertemuan dengan rakan sejawatnya itu di hotel penginapannya di sini hari ini.
Rais berkata, walaupun hubungan antara kerajaan dengan kerajaan berjalan lancar, namun hubungan antara sesama masyarakat nusantara melibatkan Malaysia dan Indonesia perlu menempa satu era baharu menerusi penerbitan sebuah program televisyen yang disiarkan secara langsung.
Bagi memastikan program itu dilaksanakan segera, beliau berkata, satu kumpulan kerja terdiri daripada warga kementerian termasuk Editor Kanan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd. Nasir Yusoff akan dihantar ke Jakarta bagi membincangkan secara terperinci penerbitan tersebut dengan pihak yang berkenaan di Indonesia.
Rais berkata, bagi pihak Malaysia, kementeriannya telah lama bersedia dengan rangka rancangan tersebut dan tentunya akan memberikan sepenuh sokongan kepada kumpulan kerja yang dilantik bagi merealisasikan hasrat murni ke arah mewujudkan hubungan yang lebih akrab di antara masyarakat kedua-dua negara.
Kita serahkan kepada para profesional ini untuk menentukan bentuk program dan sekiranya perlukan bimbingan, kementerian akan memberi sokongan sepenuhnya dengan harapan satu terbitan dapat disiarkan pada Mac, namun ini tetap bergantung kepada kesediaan Jakarta," katanya.
Dalam perkembangan lain, Rais berkata, satu persembahan budaya yang dinamakan "Konsert Nusantara" akan diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Mac ini membabitkan persembahan oleh ahli budaya daripada kedua-dua negara.
Bagi mengerat dan menghargai kekuatan budaya dua negara, kementerian juga akan mengundang wakil masyarakat budaya Indonesia dan wakil masyarakat itu yang sedia berada di Malaysia untuk sama-sama mengambil bahagian membuat persembahan, sekali gus mencerminkan kehebatan budaya Malaysia dan Indonesia yang masih hidup subur di bumi kedua-dua negara, katanya sebelum berlepas pulang ke tanah air. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan