Khamis, Januari 03, 2013

Kegagalan Golongan Muda Menilai Maklumat Boleh Hancurkan Negara


KUALA LUMPUR, 2 Jan – Bekas Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO, Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin menyeru golongan muda di negara ini agar sentiasa berhati-hati dan menapis segala maklumat yang diperolehi di laman-laman sosial dan blog kerana dibimbangi ia adalah fitnah yang boleh menghancurkan masa depan mereka dan negara.
Beliau menegaskan demikian kerana golongan ini merupakan majoriti rakyat yang terdedah kepada sumber-sumber daripada laman-laman sosial dan blog, yang adakalanya membawa berita atau maklumat yang tidak sahih yang boleh menjurus ke arah fitnah.
“Bila kita memperkatakan golongan muda, golongan ini mempunyai potensi besar jika dibandingkan dengan golongan kanak-kanak dan golongan tua.  Dan di dalam negara ini, golongan inilah yang paling terdedah kepada semua maklumat dan info-info yang ada di alam maya.
“Sebab itu, saya menyeru golongan ini agar sentiasa berfikir dan menilai sebarang maklumat di dalam dunia yang penuh kekeliruan dan fitnah hari ini. Maklumat yang sampai kepada golongan ini merentasi zaman, sebab itu golongan ini perlu menilai dan menimbang mana yang betul dan mana yang tidak betul,” tegas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Tambahnya lagi, sekiranya orang muda salah menilai maklumat dan info yang sampai kepada mereka, yang akhirnya akan mencorakkan pemikiran dan kelakuan mereka, maka ia boleh memberi kesan kepada generasi kanak-kanak dan generasi orang tua akan menjadi mangsa.
“Masa depan agama, bangsa dan negara terletak di tangan golongan muda. Sebab itu Rasulullah saw bukan saja meletakkan orang-orang muda di barisan hadapan ketika peperangan, tetapi golongan ini jugalah yang diletakkan oleh Rasulullah saw dalam urusan pentadbiran umat Islam dalam pelbagai bidang.
“Maka dengan contoh yang diberikan oleh Rasulullah saw, bagaimana baginda amat menyakini akan kemampuan dan peranan orang muda dalam mempertahankan Islam dan negara, sebab itu saya seru agar golongan muda di negara ini tidak mensia-siakan pemikiran mereka dengan maklumat-maklumat yang sia-sia dan  maklumat yang tidak tahu hujung pangkalnya.
“Di dalam Al Quran, Allah sudah memberitahu kepada kita bahawa apabila sampai satu maklumat kepada kita, maka kita mestilah menyiasat terlebih dulu. Ini penting, kerana golongan inilah yang menjadi sasaran utama dalam industri maklumat di negara ini terutama bagi golongan yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan fitnah dan perkara-perkara dusta,” ujarnya.
Lantaran itu menurut beliau,  Allah telah memberi amaran di dalam Al Quran, sekiranya umat Islam, terutamanya golongan muda di negara ini yang menjadi teras pemangkin kepada negara, sekiranya mereka mempercayai maklumat yang tidak sahih dan fitnah, maka akibatnya amat besar kerana sesuatu negara atau kaum itu akan mendapat musibah akibat golongan muda yang salah pertimbangan dalam penilaian maklumat yang mereka terima.
“Jika tersilap pertimbangan, negara sudah runtuh, Islam dan ranap dan bangsa sudah hancur, maka barulah kita akan merasa menyesal tentang kesilapan kita dalam membuat penilaian. Ini telah Allah tegaskan di dalam Al Quran. Sebab itu penilaian dan pertimbangan itu amat penting.
“Justeru itu, sekali lagi saya mengingatkan golongan muda  di negara ini, khususnya pemuda Islam, bahawa di bahu merekalah terpikulnya tanggungjawab untuk meneruskan survival Islam, bangsa dan negara kita agar terus kehadapan.
“Jangan gadaikan Islam, bangsa dan negara, hanya kerana rasa tidak puas hati yang bersarang di hati kita. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Sebelum membuat sebarang kesimpulan, letakkan akal fikiran kita diatas sebagai alat untuk membuat penilaian dan pertimbangan. Jangan kelak, kita menyesal di kemudian hari,” ujarnya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan