KUALA TERENGGANU, 4 Ogos (Bernama) -- WWF-Malaysia meminta kerajaan Terengganu supaya menyiasat sumber asal telur penyu yang banyak dijual di Pasar Payang di sini.
Gesaan badan itu susulan kenyataan Pengerusi Lembaga Penasihat Santuari Penyu Terengganu Datuk Mazlan Ngah sebelum ini bahawa telur terbabit bukan telur tempatan, sebaliknya dari Sabah, Sarawak dan Filipina.
"WWF-Malaysia ingin menegaskan bahawa kenyataan itu mungkin satu andaian semata-mata dan satu siasatan mengenai dari mana telur penyu itu diperoleh mestilah dilakukan oleh kerajaan negeri.
"Ia kerana telur penyu di pantai-pantai di negeri ini boleh dicuri dan ia merupakan satu kesalahan di bawah Enakmen Pemuliharaan Penyu Terengganu 1951 (pindaan) 1987," kata badan itu dalam satu kenyataan kepada Bernama, di sini Khamis.
Kenyataan itu juga berkata pada masa kini terdapat 20 pantai di Terengganu yang menjadi pusat pendaratan penyu dan diberikan permit kepada pemungut telur yang dilesenkan untuk meronda dan mengutip semua telur terbabit.
Daripada jumlah tersebut hanya telur daripada sarang di 12 pantai sahaja yang dijual kepada Jabatan Perikanan negeri di bawah skim beli balik.
"Kami menjangkakan memang terdapat telur penyu tempatan yang dijual di pasar tempatan dan kenyataan ini berasaskan tinjauan mendapati penjual jelas memasarkan telur tempatan dengan harga yang jauh lebih tinggi berbanding telur penyu yang diperoleh dari tempat lain.
"Sehubungan itu WWF-Malaysia seterusnya menggesa supaya penjualan telur ini dihentikan segera sehingga siasatan mengenai sumber telur-telur penyu yang dijual di Terengganu diketahui," kata kenyataan itu.
Pada masa ini, tiada pengharaman penjualan telur penyu dilakukan peringkat negara, manakala di Terengganu larangan hanya untuk telur penyu belimbing.
WWF-Malaysia turut meminta satu pengharaman komprehensif dilakukan pada penggunaan dan perdagangan telur penyu melibatkan semua spesies penyu marin memastikan habitat itu tidak pupus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan