Kira-kira 800 peserta yang menaiki 200 kenderaan pacuan empat roda menyertai program kembara dan memancing “Boat On The Road” berlepas dari Sri Pentas di Bandar Utama ke Tasik Kenyir, pagi ini.
Acara pelepasan program yang bertujuan mempromosikan Tasik Kenyir sebagai desrinasi pelancongan itu, disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.
Majlis tersebut disiarkan secara langsung oleh TV3 melalui slot Malaysia Hari Ini (MHI).
Bagi program itu, juara kategori kumpulan akan menerima hadiah lumayan berupa wang tunai RM30,000 manakala naib johan RM15,000 dan tempat ketiga RM10,000.
Manakala bagi kategori individu (House Boat) pula juara akan membawa pulang wang tunai RM12,000 manakala tempat kedua RM8,000 dan ketiga RM5,000.
Menteri Besar berkata, pihak penganjur menyediakan wang tunai berjumlah RM116,000 sebagai hadiah kepada peserta yang menyertai program kali kedua diadakan ditasik berkenaan.
“Pada tahun ini kita akan mengadakan beberapa acara sampingan di Tasik Kenyir sempena program Boat On The Road ini bagi menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.
Antara acara yang bakal menarik tumpuan pengunjung ialah pertunjukan ‘power boat ’ yang bakal menyaksikan bekas juara dunia dari Australia dalam acara tersebut, akan beraksi di Tasik Kenyir.
“Pertunjukan power boat akan diadakan selama dua hari iaitu pada hari Sabtu dan Ahad bagi membolehkan penduduk tempatan menyaksikan kehebatan peserta beraksi,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri bercadang untuk menganjurkan pertandingan power boat peringkat antarabangsa pada tahun depan, sebagai acara tambahan bagi mempromosikan Tasik Kenyir di peringkat dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan