Kerajaan negeri mengingatkan semua kontraktor Bumiputera di negeri supaya menyiapkan projek mengikut jadual yang ditetapkan bagi mengelak tindakan pembatalan sekaligus mengakibatkan syarikat mereka disenaraihitamkan.
“Saya beri amaran, jika satu-satu projek sampai tahap dibatalkan, mereka (kontraktor) mungkin akan disenaraihitamkan. Maka satu projek pun dia tidak dapat masuk, ini risiko yang terpaksa ditanggung.
“Bagaimanapun, kita menghargai kontraktor yang bagus. Kita boleh berunding dan memberi projek secara selektif serta menimbang projek-projek yang lain untuk diusahakannya kalau dia (kontraktor) bagus,” katanya ketika sidang media sempena Program Sehari Bersama Menteri Besar di DUN Batu Buruk,di Kampung Chendering, Kuala Terengganu, semalam.
Turut hadir, Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk, Dato’ Haji Che Mat Jusoh.Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.
Sebelum itu, Menteri Besar meninjau perkembangan dan mendengar taklimat mengenai kemajuan Masjid Raja Chendering, kira-kira jam 7.30 pagi.
Beliau mengarahkan supaya kontraktor terlibat menyiapkan segera pembinaan masjid yang bernilai kira-kira RM9.2 juta itu supaya dapat digunakan sepenuhnya pada bulan Ramadan ini.
Selain Masjid Raja Chendering, Menteri Besar berkata, terdapat banyak kes projek lambat siap daripada jadual sebenar akibat sikap kontraktor khususnya kontraktor Bumiputera.
Katanya, masjid yang dikatakan paling mahal di DUN Batu Buruk itu sepatutnya dijadualkan siap pada September lalu, bagaimanapun kontraktor gagal mengikut jadual dan dilanjutkan masa sehingga Mei ini.
Bagaimanapun, berdasarkan kemajuan pembinaannya, Menteri Besar menjangkakan kontraktor berkenaan tidak mampu menyiapkannya pada tarikh baru itu dan kerajaan negeri menetapkan tempoh masa yang baru iaitu pada Julai ini.
“Ini masalah kontraktor kita. Apabila kerajaan negeri tidak serahkan projek kepada Bumiputera, dia kata tidak serah kepada Bumiputera. Serah kepada Bumiputera ini jadinya. Mereka tidak fokus, tiada pengurusan masa dan pengurusan kewangan yang baik. Dapat duit projek mereka gunakan dulu untuk projek lain,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan