Kerajaan negeri membelanjakan RM423,300 untuk menghantar 65 orang guru mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Sekolah (KPLI) dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) untuk penambahbaikan dan menaiktaraf guru pra sekolah Yayasan Islam Terengganu (YIT).
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haj Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, tempoh pengajian KPLI adalah setahun enam bulan dan 20 guru yang terpilih menelan kos RM67,200 atau RM3,360 seorang.
“Manakala pengajian KDPM dengan tempoh tiga tahun enam bulan membabitkan 45 guru dan kerajaan membelanjakan RM359,100 atau RM7,980 untuk seorang,” katanya kepada pemberita selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Institut Pendidikan Guru (IPG) Kementerian Pendidikan Malaysia dan Yayasan Islam Terengganu (YIT) di Wisma Darul Iman, hari ini (5 April).
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat; Rektor Institut Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia, Dato’ Dr. Haili Dolhan dan Pengarah YIT, Haji Md Kamarul Al Amin Ismail.
Katanya, program ini yang telah bermula November tahun lalu antara usaha kerajaan bagi penambahbaikan dan menaiktaraf guru-guru Tadika YIT yang masih berstatus sementara untuk mendapatkan jawatan guru tetap setelah memiliki Diploma Pendidikan Pra-Sekolah nanti.
“Dengan tawaran kursus ini memberi peluang kepada guru-guru lama (N17) yang berkelayakan untuk menyambung pelajaran seterusnya dapat menyeragamkan tahap minima kelayakan guru pra sekolah,” katanya.
Katanya, program KPLI akan ditempatkan di Institut Pendidikan Guru Sultan Mizan, Besut dan program KDPM akan mengikuti kursus di Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail Batu Rakit, Kuala Terengganu.
Tambahnya, program ini satu lagi sejarah tercipta dalam menjadikan Terengganu dalam hab pendidikan dalam konsep Terengganu Anjung Ilmu dan akan pastikan pendidikan berada di tangga teratas dengan tenaga pengajar yang berkaliber.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan