Ahad, April 10, 2011

DBP sasar pelajar tinggal jauh dari bandar


Sambutan pengunjung yang amat menggalakkan dalam program Pesta Buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2011 Peringkat Negeri Terengganu membuka jalan kepada penganjur bagi melaksanakan program kedua pada penghujung tahun ini untuk memberi peluang kepada pelajar yang tinggal jauh dari bandar Kuala Terengganu turut serta dalam pesta buku itu kelak.



Program julung kali yang dilaksanakan di Sekolah Menengah (SM) Teknik Jalan Lapangan Terbang, Kuala Terengganu dijangka menarik penyertaan lebih 10,000 pelajar dan guru dari seluruh Terengganu khususnya dari Kuala Terengganu, Marang dan Setiu.


Pengerusi Pesta Buku DBP 2011, Datuk Abdul Ghani Ngah, berkata pihak DBP dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Dawama Sdn Bhd akan melebar luaskan program itu bagi memberi manfaat yang lebih menyeluruh kepada pelajar dan guru yang tinggal di kawasan jauh dari Daerah Kuala Terengganu khususnya di Kemaman.
“Kta akan mengenal pasti lokasi yang strategik dan tempatnya nanti mungkin di mana-mana sekolah kerana terdapat kemudahan pengangkutan untuk memastikan ia mudah dikunjungi,” katanya selepas merasmikan program itu, di SM Teknik, Lapangan Terbang, hari ini.


Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahasa Melayu, Che Soh Che Muda. Beliau merasmikan program mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, selain mewakili Pengarah JPNT, Encik Razali Daud.


Lebih 10,000 penerbitan DBP termasuk majalah, bahan bacaan umum kanak-kanak, kamus DBP, novel dan cerpen dijual dengan tawaran diskaun sehingga 70 peratus di pesta yang berlangsung tiga hari bermula semalam itu.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan kepada pengunjung seperti pertandingan seni khat, pertandingan mewarna, bercerita dan program bengkel majalah dalam kelas.

Datuk Abdul Ghani yang juga Pengerusi Eksukitif Dawama Sdn Bhd berkata, berbanding syarikat penerbitan lain, Dawama Sdn Bhd hanya menawarkan naskhah buku berkualiti terbitan DBP dan percaya buku-buku popular dan bermutu ini akan sentiasa mendapat sambutan hangat para pembaca.

Sementara itu beliau juga tidak menafikan kesan daripada pengaruh medium baru bahan bacaan menerusi internet turut menjejaskan penggunaan buku fizikal pada masa kini.

Bagaimanapun, ia tidak membantutkan usaha penulisan dan menggalakkan kemunculan penulis baru yang mampu mengembangkan lagi dunia sastera dan bahasa ibunda kita.

“DBP khusus ditugaskan oleh Kementerian Pelajaran terutama dalam membangun membina bahasa dan menyebar luas ilmu melalui penulisan bermutu, di samping mencetak dan mengedar buku teks untuk keperluan pelajar dari peringkat pra sekolah hingga menengah tinggi.

“Jadi misi dan tugas rasmi ini memiliki kepentingan dan fungsi yang tersendiri yang tidak memberi impak secara terus dengan prestasi jualan buku DBP yang diuruskan oleh Dawama ini,” katanya.

Katanya, DBP tidak berdepan dengan persaingan secara langsung dengan penerbit buku lain di negara ini kerana kekal dengan fungsi asas DBP yang menerbitkan buku bagi tujuan pembangunan negeri selari dengan kaedah sistem kokurikulum yang didasari oleh kerajaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan