Isnin, Mac 21, 2011

TID Aquatic cungkil bakat sukan renang

Bagi memastikan tidak ketandusan bakat dalam sukan renang, program TID Aquatic (Pengenalpastian Bakat Akuatik) dilancarkan di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Batu Buruk, Kuala Terengganu, pada 2 April ini.

Program anjuran Kerajaan Terengganu menerusi Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Persatuan Renang Negeri Terengganu dilaksanakan bagi mencari bakat baru dan pelapis dalam sukan akuatik yang dapat mewakili negeri pada masa depan.


Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat, berkata program julung kali dianjurkan itu juga bertujuan mempromosikan kolam renang yang sudah mulai beroperasi dan selamat digunakan sejak sebulan lalu.

Pusat akuatik bernilai RM18 juta sebelum ini ditutup sejak 9 Julai 2009 bagi melakukan kerja-kerja membaikpulih dan pengubahsuaian selepas mengalami kerosakan dan kebocoran.

Katanya, TID Aquatic terbuka kepada pelbagai tahap usia dan terbahagi kepada beberapa kategori termasuk sekolah rendah, menengah dan juga dewasa.

“Melalui pertandingan itu, kita mahu mencungkil bakat baru dalam sukan renang dan boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Pada masa yang sama, kita juga mengadakan program itu untuk meuar-uarkan kepada umum bahawa kolam renang kita sudah boleh digunakan seperti biasa,” katanya.

Jabatan Kerja Raya (JKR) menyerahkan kolam renang itu kepada pihak pengurusan, MBKT pada 21 Januari lalu dan dibuka kepada orang ramai selepas mendapat jaminan daripada JKR bahawa ianya selamat digunakan.

Pusat yang memiliki tiga kolam renang untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak itu kini bersedia menerima kunjungan pelawat dari jam 2.30 hingga 6.30 pada Ahad hingga Khamis, manakala Jumaat, Sabtu dan cuti umum dibuka seawal 9.30 pagi hingga 6.30 petang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan