KUALA TERENGGANU - Lebih 19 hektar kawasan hutan di Bukit Kecil di sini musnah dalam kebakaran yang bermula petang semalam, bagaimanapun keadaan kebakaran kini terkawal dengan beberapa kawasan masih mengalami kebakaran kecil.
Penolong Penguasa Bomba Kuala Terengganu Mohd Khairul Anuar berkata, lebih 100 anggota dan pegawai bomba termasuk pelatih dari Akademi Bomba Wakaf Tapai dan Bomba Sukarela Kuala Nerus Manir bertungkus lumus 24 jam untuk mengawal kebakaran itu.
Katanya, kebakaran bermula kira-kira 2 petang semalam dan hujan lebat tengah malam semalam telah membantu memadamkannya, bagaimanapun kebakaran itu merebak semula tengah hari ini akibat keadaan berangin dan cuaca panas.
Setakat pukul 4 petang ini, anggota bomba masih lagi menjalankan operasi pengawalan api dan beberapa kawasan di hutan itu masih mengalami kebakaran kecil.
"Sebaik menerima panggilan kecemasan, kita telah menghantar jentera dan anggota bomba untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan kediaman dan beberapa bangunan milik kerajaan yang terletak berhampiran kawasan kejadian,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan