Jumaat, November 15, 2013

Tiga kali Khatam Quran Resepi Kejayaan UPSR.



BANDAR PERMAISURI: Penumpuan terhadap pelajaran bermula sejak awal tahun secara konsisten serta tiga kali khatam Quran adalah antara resepi kejayaan tujuh daripada 10 murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chalok Model Khas mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR yang diumumkan hari ini.(14.11.2013)

Che Dayang..pengetua SMK Chalok.
Pengetuanya Che Dayang Sulaiman, berkata kejayaan sekolah itu mendapat keputusan terbaik Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Terengganu adalah berkat usaha guru-guru serta sokongan daripada ibubapa.


"Alhamdulillah, pada tahun ini kita dapati kejayaan pada begitu membanggakan dan saya rasa bersyukur kerana usaha yang kita lakukan ialah bermula pelajar ini di tahun empat lagi.

"Mereka semua tinggal di asrama jadi kelas tambahan dan juga kem-kem kita laksanakan secara berterusan.

"Semua pelajar khatam Al-Quran dan setiap pelajar sekurang-kurangnya tiga kali khatam Quran, mereka juga mahir Bahasa Arab dan Inggeris.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua guru terutamanya guru model khas, pegawai-pegawai dari PPD Setiu dan juga JPNT kerana memberi kerjasama kepada sekolah," katanya.

Tinjauan Teganukita di sekolah itu mendapati, rata-rata murid begitu gembira dengan kejayaan masing-masing dan mengharapkan akan dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh pada tahun depan.

Wan Farhani bersama bapanya.
Wan Farhani Wan Abdullah berkata, dia mula mentelaah pelajaran sejak awal tahun tetapi mula memberi tumpuan sepenuhnya bermula bulan April sehinggalah ke minggu terakhir sebelum peperiksaan.

"Saya tinggal di asrama, setiap malam kami kena 'study'. Saya mula belajar sejak awal tahun dan belajar ikut 'mood' tetapi apabila sampai bulan 4 barulah saya bersungguh-sungguh. Kalau boleh saya mahu sambung belajar ke Kolej Tengku Khursiah." katanya.

Seorang lagi yang mendapat 5A, Mohd Syakir Irfan Idris, berkata dia mula bersungguh-sungguh belajar bermula bulan Mac dan belajar dua jam setiap hari.

KLIK DISINI untuk berita selanjutnya.

Khamis, November 14, 2013

Polis Marin patah cubaan seludup syabu


PELABUHAN KLANG 13 Nov. - Pasukan Polis Marin (PPM) mematahkan percubaan menyeludup 3.6 kilogram dadah syabu yang dianggarkan bernilai RM330,000 dalam Op Cantas Khas di kawasan perairan Pantai Tanjung Bakau di sini petang semalam.

Komander PPM, Datuk Isa Munir berkata, dalam operasi kira-kira pukul 6 petang itu, bot berkenaan ditahan di kedudukan 2.7 kilometer dari pantai, hasil maklumat orang ramai.

Katanya, kesemua dadah itu ditemui disembunyikan di belakang bot berkenaan yang sarat dengan barangan terpakai.

“Bot berkenaan adalah jenis barter trade dari Indonesia. Ketika ditahan, ia dalam perjalanan pulang ke negara jiran itu dari Pelabuhan Klang.

“Selain itu, kami turut menahan seorang tekong bot bersama awak-awak berusia antara 20 hingga 33 tahun. Kesemua mereka berasal dari Indonesia," katanya di Markas Operasi Pasukan Polis Marin di sini hari ini.

Tambah beliau, kesemua yang ditahan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39 (B), Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, Isa memberitahu, pihaknya sedang giat melaksanakan operasi memantau sempadan perairan negara bagi menghalang percubaan rakan subahat suspek kes bunuh pegawai AmBank pada 23 Oktober lalu melarikan diri.

Isnin, November 11, 2013

ISTERI DERHAKA !!

Foto
BEKAS minyak air mata duyung yang sudah dimasukkan gumpalan rambut suami, kain kafan, minyak air mata duyung dan jarum.
Bimbang suami ingin berkahwin lain atau lebih mengambil berat terhadap ibu kandung, dua wanita ini sanggup melakukan amalan syirik dengan menggunakan sihir atau ilmu penunduk menggunakan benda kotor dan jampi serapah untuk menjinakkan suami.
Jumma, 38, berbuat demikian kerana suaminya mahu berkahwin dengan seorang janda berikutan belum dikurniakan anak selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga, manakala Ani, 45, menggunakan ilmu penunduk terhadap suami kerana cemburukan ibu mentuanya sendiri. 
Kedua-dua wanita itu adalah contoh segelintir golongan isteri di negara ini yang sanggup menyihir suami demi kepentingan diri. Agama diketepikan asalkan suami ikut telunjuk hasil bantuan elemen syirik. 

Diuji tanpa zuriat selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga, wanita ini tergamak menggunakan benda kotor termasuk kain kafan bagi mengelap peluhnya sebagai antara ramuan ilmu penunduk bagi menjinakkan suaminya yang hangat bercinta dengan seorang janda muda.

Bahan itu kemudian dicampur minyak air mata duyung, jarum serta rambut suami untuk dijadikan minyak guna-guna oleh seorang bomoh di Malaysia Timur yang diupah Jumma, 38, bertujuan mengembalikan kebahagiaan rumah tangganya.
Sumber:harianmetro

Sabtu, November 09, 2013

KHAIRY TIDAK BERMINAT DENGAN JAWATAN MENTERI BELIA DAN SUKAN ??

Khairy berdendam?

Bekas kapten negara hairan gelagat menteri berterusan hentam wibawa FAM

Kuantan: Tindakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berterusan menghentam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) secara terbuka di media termasuk menyifatkan badan induk itu masih berada di zaman purba dibidas Datuk Jamal Nasir Ismail semalam. 

Jamal berkata, sebagai bekas kapten skuad kebangsaan dan ahli jawatankuasa FAM sebelum ini, hatinya terguris apabila ada pihak, apa lagi menteri yang bertanggungjawab terhadap sukan negara, mengkritik secara melulu seolah-olah mahu melepaskan geram kepada individu tertentu dalam badan induk itu. 

“Saya tidak faham kenapa Khairy sejak akhir-akhir ini terlalu nampak kelemahan FAM sedangkan sebelum ini ketika beliau menjadi timbalan presiden FAM selama tiga tahun (2007-2010), masalah ini tidak timbul.

KLIK DISINI untuk pautan selanjutnya.

Jumaat, November 08, 2013

Elak diceroboh perisikan luar negara

Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mengemukakan beberapa cadangan mempertingkatkan tahap keselamatan dalam sistem komunikasi negara supaya tidak mudah dicerobohi oleh pihak tertentu terutama perisikan luar negara.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan boleh menimbangkan untuk melaksanakan saringan bagi setiap maklumat berkaitan sebelum boleh diakses bagi memastikan tiada pencerobohan pihak asing.

"Bagi memastikan orang yang kita anggap sebagai sahabat tidak melakukan perkara tidak baik kepada negara, kementerian akan lihat bagaimana sistem komunikasi sedia ada boleh dipertingkat dari mudah dibolosi.

"Kita akan cari kaedah untuk nasihatkan kerajaan supaya memperbanyakkan sistem tapisan bagi elak maklumat diakses oleh mereka yang berkemungkinan adalah perisik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan inisiatif komunikasi terbaharu, Hab Komunikasi Nasional Setempat Neutral (My1Hub), sistem kabel dasar laut persendirian pertama negara, Cahaya Malaysia dan Gerbang Antarabangsa Iskandar (IIGW) oleh Telekom Malaysia Bhd. (TM), di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi TM, Datuk Seri Dr. Halim Shafie dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa.

Ahmad Shabery berkata, tindakan Amerika Syarikat (AS) yang didakwa melakukan pengintipan ke atas negara ini melalui kedutaan negara itu di ibu negara serta terhadap beberapa negara lain seperti dilaporkan akhbar antarabangsa baru-baru ini amat tidak wajar.

"Kita kecewa dengan dakwaan itu kerana negara yang kita anggap mahu jadi sahabat tetapi melakukan risikan tentang apa yang kita buat. Kita hendak tahu sejauh mana risikan itu dikatakan untuk mengekang pengganas atau adakah mereka hendak tahu semua tentang negara ini.

"Ini yang menjadi punca kemarahan Perancis dan Jerman, sehingga perbualan pemimpin negara pun mereka intip. Bagi kita, ini tidak patut diizinkan berlaku," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai inisiatif terbaharu TM, Ahmad Shabery berkata, pelancaran tiga projek tersebut bakal menjadikan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara lebih pantas dan efisien.

Tiga inisiatif tersebut adalah untuk menampung permintaan yang semakin meningkat bagi hubungan data di dalam dan luar negara.

My1Hub bertindak sebagai pusat tunggal untuk menyediakan hubungan efisien kepada gerbang-gerbang domestik dan antarabangsa melalui stesen kabel dan rangkaian sistem kabel syarikat itu, termasuk Cahaya Malaysia.

Usaha tersebut bukan sahaja menyediakan hubungan internet dan jalur lebar di dalam dan luar negara, malah, lebih penting, menawarkan platform neutral bagi penyedia perkhidmatan dan pengusaha pusat data untuk meningkatkan tawaran kepada pengguna akhir dengan memanfaatkan prasarana TM yang luas.

Zamzamzairani dalam pada itu menjelaskan, untuk permulaan, My1Hub akan meliputi Semenanjung Malaysia dan akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

Beliau berkata, syarikat itu akan terus melabur untuk memperluaskan tawaran hubungan data termasuk mengoptimumkan penggunaan Cahaya Malaysia yang mempunyai kapasiti hingga 24 terabait sesaat (Tbps).

Jumaat, November 01, 2013

CONTOH TERBAIK - TAHNIAH SPRM

Bekas KP Imigresen  kena 6 tahun
Abdul Wahid dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam atas tuduhan menerima rasuah RM60,000.

Bekas KP Imigresen kena 6 tahun

Abdul Wahid didapati bersalah terima suapan RM60,000 

Kuala Lumpur: Dibebas dan dipenjarakan oleh hakim yang sama.  Bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don, dipenjara enam tahun dengan denda RM300,000 atau tambahan setahun penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, selepas didapati bersalah menerima rasuah RM60,000 lima tahun lalu. 

Hakim Rosbiahanin Ariffin, menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pembelaan tertuduh menerusi peguam belanya, Datuk V Sithambaran, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. 

Wahid, 60, yang hadir dengan ditemani isterinya, kelihatan tenang sebaik Rosbiahanin membacakan keputusan memerintahkan dia menjalani hukuman penjara mulai semalam. 

Terdahulu, hakim menolak permohonan Sithambaran, supaya anak guamnya dibenarkan ikat jamin dan menangguhkan hukuman penjara, sementara menunggu rayuan. 

Khamis, Oktober 31, 2013

Pancaran Frekuensi Radio

1. Apakah Itu Pancaran RF?
Pancaran RF atau emissi adalah satu bentuk tenaga yang bergerak dan bersifat elektromagnetik. Terdapat 2 jenis pancaran:

Pancaran RF Berion (Ionizing RFE) memiliki tenaga yang cukup untuk mengubah tindak balas kimia pada tubuh badan serta memberikan kesan kepanasan melampau. Contoh Radiasi Berion adalah sinaran Gamma, sinaran X (X-ray) dan emissi radioaktif.
 
Pancaran RF Tak Berion (Non-Ionizing RFE) tidak memiliki tenaga yang cukup untuk mengubah tindak balas kimia pada tubuh badan dan jirim hidup, serta tidak mendatangkan kesan buruk pada manusia. Contoh Pancaran Tak Berion adalah Pancaran Frekuensi Radio (Emissi RF).

"Pancaran RF tidak bersifat radioaktif"
2. Berapakah Paras Pancaran RF Yang Dihasilkan Oleh Pemancar Telekomunikasi Di Malaysia?

Berdasarkan ujian yang dilakukan, purata bacaan pancaran RF dari pemancar telekomunikasi di Semenanjung Malaysia hanyalah 0.000093 W/m berbanding had dedahan yang ditetapkan oleh ICNIRP dan SKMM. Paras pancaran RF yang
dihasilkan ini adalah rendah dan tidak memberi kesan kepada kesihatan.
3. Adakah Pancaran RF Sesuatu Yang Baharu?

Tidak, pancaran RF telah digunakan dengan meluas lebih 60 tahun dahulu sejak siaran TV dan radio mula disiarkan.
4. Benarkah Dakwaan Bahawa Pancaran RF Membahayakan Kesihatan?

Bukti saintifik yang konklusif tidak menunjukkan bahawa pancaran RF dari pemancar telekomunikasi berupaya memberikan kesan kepada kesihatan seperti pening kepala, hilang ingatan, sakit kulit mahupun kanser.

PERTUBUHAN KESIHATAN SEDUNIA (WHO-2006)
“Sejak 15 tahun lalu, pelbagai kajian mengenai perkaitan di antara pemancar RF dengan kanser telah diterbitkan. Kajian-kajian ini tidak menunjukkan bahawa dedahan pancaran RF daripada pemancar telekomunikasi dapat meningkatkan risiko kanser.”

Persepsi risiko oleh masyarakat awam :
“Sesetengah individu mempunyai persepsi risiko yang negatif terhadap dedahan pancaran RF. Beberapa punca kepada persepsi masyarakat termasuk liputan media terhadap kajian saintifik tidak sahih yang membangkitkan rasa ketidaktentuan, serta persepsi bahawa mungkin wujudnya bahaya yang tidak diketahui.”
5. Berapakah Had Dedahan Pancaran RF Yang Telah Ditetapkan ?

Had dedahan pancaran RF yang ditetapkan Suruhanjaya Antarabangsa Terhadap Perlindungan Radiasi Bukan-Pengionan (ICNIRP) dan SKMM adalah 4.5W/m untuk frekuensi 900MHz, 9W/m untuk frekuensi 1800MHz dan 10W/m untuk frekuensi 2000MHz dan ke atas. Had dedahan ini meliputi frekuensi bagi teknologi 2G, 3G dan 4G. Had dedahan yang ditetapkan ini turut
menerapkan nilai penampan yang besar bagi melindungi segenap lapisan masyarakat termasuk warga tua dan kanak-kanak.
6. Siapakah Pihak Yang Memantau Pancaran RF Daripada Pemancar Telekomunikasi?

SKMM adalah badan kerajaan yang memantau paras pancaran RF dari pemancar telekomunikasi. Sebarang ketidakpatuhan terhadap standard mandatori paras pancaran RF yang ditetapkan oleh SKMM boleh dihukum denda tidak melebihi RM200,000.00.
7. Adakah Terdapat Kajian Badan Antarabangsa Mengenai Pancaran RF Kepada Kesihatan?

Sejak dahulu lagi, banyak kajian telah dilakukan di seluruh dunia. Berikut adalah beberapa rumusan hasil kajian oleh badan-badan antarabangsa : -

“Kajian 10 tahun yang dilakukan di 13 buah Negara maju (Australia, Kanada, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Israel, Itali, Jepun, New Zealand, Norway, Sweden dan UK) menunjukkan tiada hubungan antara peningkatan risiko kanser dengan pancaran RF.” – petikan daripada INTERPHONE Study, 17 Mei 2010

“Tiada bukti pendedahan pancaran RF boleh meningkatkan risiko kanser. Begitu juga kajian yang dilakukan terhadap haiwan tidak menunjukkan peningkatan risiko berlakunya kanser akibat pancaran RF walaupun pada tahap yang sangat tinggi melebihi tahap pancaran yang dikeluarkan oleh pemancar telekomunikasi.” – petikan daripada WHO, Mei 2010

“Kajian sehingga kini mendapati pancaran RF di bawah had dedahan yang ditetapkan oleh ICNIRP tidak memberi kesan negatif terhadap kesihatan awam. Adalah disimpulkan bahawa tiada bukti menunjukkan adanya risiko kesihatan kepada orang awam yang tinggal berhampiran dengan struktur pemancar telekomunikasi.” – petikan daripada The United Kingdom Independent Expert Group (Stewart Report) tahun 2000.

“Sehingga kini, tiada peningkatan risiko kesihatan disebabkan oleh pendedahan kepada pancaran RF. Medan RF yang dipancarkan oleh stesen pemancar adalah begitu lemah untuk memberikan kesan kepada kesihatan.” – petikan daripada The Royal Society of Canada, March 1999” 

Walaubagaimanapun, terdapat juga hasil kajian tidak sahih yang mengaitkan pendedahan pancaran RF dengan pelbagai kesan kesihatan. Hasil kajian sebegini sering disensasikan seterusnya membawa kepada kegusaran dan kekeliruan.
8. Adakah terdapat Kajian Yang Dilakukan Di Malaysia?

Pada 1996, kajian Jawatankuasa Saintifik Ad-Hoc Antara Agensi yang dianggotai antaranya Kementerian Kesihatan, UKM, UM, MINT, SIRIM, JTM dan UTM menyimpulkan bahawa tiada bukti kukuh yang menunjukkan pendedahan kepada pancaran RF boleh mengakibatkan timbulnya kesan kepada kesihatan manusia. Kajian menyeluruh telah dijalankan oleh Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) yang membuktikan paras pancaran RF di kawasan sekitar pemancar telekomunikasi di Malaysia adalah rendah berbanding had dedahan yang ditetapkan.

Kajian UNITEN baru-baru ini menunjukkan Malaysia mematuhi piawaian dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan ICNIRP berkaitan dengan tahap keselamatan radiasi RF.
9. Adakah Perlu Ada Jarak Tertentu Di Antara Menara Pemancar Dengan Rumah?

Jarak keselamatan fizikal telah ditetapkan oleh Garis Panduan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan 2002. Jarak ini adalah bagi melindungi masyarakat awam daripada pemasangan tidak sempurna serta kejatuhan objek daripada menara dan struktur pemancar telekomunikasi. Dari segi pancaran RF, paras radiasi daripada struktur sebegini adalah rendah dan tidak memerlukan keperluan jarak tambahan.
10. Bagaimanakah Orang Ramai Boleh Membuat Pertanyaan Dan Aduan Berhubung Pancaran RF?

Pertanyaan dan aduan boleh di buat kepada BIRO ADUAN PENGGUNA SKMM – sila rujuk bahagian HUBUNGI KAMI untuk
butiran lanjut.
 
Maklumat berkaitan pancaran RF boleh juga diperolehi daripada laman webhttp://rfemissions.skmm.gov.my